Tanzimat

Tanzimat (تنظيمات), bermakna penyusunan semula Empayar Uthmaniyyah, adalah tempoh pembaharuan yang bermula pada tahun 1839 dan berakhir pada Era Perlembagaan Pertama pada tahun 1876. Perkataan Tanzimat berasal daripada perkataan Arab iaitu tanzim yang membawa maksud mengatur, menyusun dan memperbaiki. Pembaharuan Tanzimat digambarkan sebagai cubaan untuk memodenkan empayar, dan melindungi integriti wilayahnya daripada pergerakan nasionalis dan kuasa-kuasa agresif. Pembaharuan ini bertujuan untuk mengintegrasikan bukan Islam dan bukan Turki ke dalam masyarakat Turki Uthmaniyyah dengan memberi mereka lebih kebebasan sivil dan kesaksamaan. Tokoh penggerak yang mempelopori gerakan ini ialah Mustaffa Reshid Pasya, Ali Pasha dan Fuad Pasha. Mereka telah menguasai kerajaan semasa era Tanzimat dan membawa semangat pembaharuan dalam Daulah Uthmaniyyah. Terdapat dua kumpulan yang memainkan peranan penting semasa era Tanzimat ini iaitu kumpulan berpendidikan barat terdiri daripada Mustafa Reshid Pasha yang ingin menggunakan pendekatan barat sepenuhnya dan kumpulan intelektual terdiri daripada Ibrahim Sinasi, Ziya Pasha dan Namik Kemal yang digelar sebagai Ottoman Muda.