Tasik
Tasik

Tasik

Tasik atau danau ialah sejenis sifat rupa bumi (atau sifat fizikal) yang berbentuk takungan air pedalaman yang bukan sebahagian lautan, yang lebih besar dan dalam berbanding kolam, airnya mengalir perlahan tetapi tidak semestinya, ditempatkan di bawah lembangan (satu lagi ciri-ciri rupa bumi) dan disalurkan oleh sungai.[1][2]Tasik-tasik semula jadi biasanya terdapat di kawasan pergunungan, zon rengkahan, dan kawasan yang baru atau sering mengalami pengglasieran. Tasik-tasik lain pula dijumpai di lembangan endoreik atau sepanjang aliran sungai matang. Di sesetengah tempat di dunia terdapat banyak sekali tasik kesan corak-corak penyaliran camuk yang ditinggalkan dari Zaman Ais yang lalu. Semua tasik hanya wujud sementara sepanjang skala masa geologi, kerana lambat-laun tasik akan ditimbus mendapan atau tumpah keluar dari lembangan yang menakungnya.