Contoh Tawanan_perang_dalam_Islam

Tawanan Perang Hunain

Ketika Perang Hunain, Rasulullah telah mengambil tawanan-tawanan perang sebagai hamba. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi sedangkan ayat di atas dengan jelas tidak menyatakan sebarang keizinan untuk menjadikan tawanan perang sebagai hamba? Di sinilah pemahaman yang mendalam tentang nas diperlukan agar tidak tersalah di dalam mengistinbat sesuatu hukum.

Melalui perincian dari catatan sirah perang Hunain, ia menunjukkan bahawa ketika peperangan berlangsung, orang-orang musyrik turut membawa wanita dan kanak-kanak bertujuan untuk meningkatkan bilangan serta memberikan semangat kepada tentera mereka. Setelah kaum musyrik kalah dalam perang ini, wanita dan kanak-kanak ini menjadi tawanan, lalu dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah kepada kalangan tentera kaum Muslimin sebagai hamba. Tawanan-tawanan wanita dan kanak-kanak ini disebut (dalam bahasa arab) sebagai “sibyah”.

Jadi, tindakan Rasulullah ini (menjadikan tawanan sebagai hamba) hanya berlaku khusus untuk sibyah sahaja. Walaupun setelah itu Rasulullah telah meminta kaum Muslimin untuk membebaskan mereka kepada keluarga masing-masing secara sukarela, namun tindakan Rasul ini sebenarnya telah menjadi dalil bagi membolehkan sibyah (iaitu tawanan wanita dan kanak-kanak yang turut sama ke medan perang) dijadikan sebagai hamba sekiranya pasukan musuh ditewaskan.

Tawanan Perang Khaibar

Manakala ketika Perang Khaibar, Rasulullah tidak pula menjadikan tawanan wanita dan kanak-kanak (sibyah) sebagai hamba walaupun kaum Muslimin menang di dalam peperangan tersebut.

Berdasarkan hal ini, Abu Ubaidah menerangkan tentang sibyah: Seseorang imam (Ketua Negara) itu mempunyai pilihan selagimana sibyah belum dibahagikan di kalangan tentera Muslim. Tetapi, jika mereka telah dibahagikan, maka khalifah tidak berhak memaksa agar sibyah itu dibebaskan kecuali dengan hadiah atau dibebaskan secara sukarela oleh tentera kaum Muslimin.

Namun Rasulullah tidak melakukan hal itu kepada penduduk Khaibar, malah baginda membiarkan mereka bebas (merdeka). Baginda juga tidak meminta dari sesiapapun untuk mengembalikan mereka, sebab memang baginda tidak membahagikannya.