Sinopsis Terbaik_Dariku_(drama)

Mengisahkan seorang wanita yang tersepit antara impiannya untuk memiliki cinta suaminya dan menerima realiti suaminya menyintai perempuan lain. Aisyah (Zara Zya) mengahwini Taufiq (Syazuwan Hassan) kerana menyangkakan suaminya itu ikhlas terhadapnya. Sebenarnya, Taufiq tidak pernah menyintai Aisyah. Sebaliknya Taufiq hanya mempergunakan Aisyah atas desakan ibunya, Saodah (Fadilah Mansor) yang mahu menumpang kesenangan yang dimiliki Aisyah.

Dalam diam, Taufiq mempunyai seorang isteri lain bernama Suraya (Azar Azmi) yang dikahwininya sebulan selepas pernikahannya dengan Aisyah. Taufik bijak menyembunyikan perkahwinannya itu sehingga tidak dapat langsung dihidu oleh Aisyah. Taufiq sering memburukkan Aisyah di hadapan Suraya. Dia sering mengadu dia tidak bahagia dengan Aisyah dan betapa dia cuba menjaga hati Aisyah tetapi Aisyah tidak menghormatinya sebagai suami malah katanya, Aisyah memperkecilkan dirinya sebagai lelaki yang berasal dari kampung dan miskin. Semua rekaan cerita ini menyebabkan Suraya bencikan Aisyah. Seringkali Suraya mendesak supaya Taufiq menceraikan Aisyah tetapi Taufiq masih lagi tidak mahu melepaskan Aisyah.

Kehadiran Zaharah (Hanna Aqeela), seorang gadis yang diselamatkan oleh Aisyah kerana melarikan diri daripada dijual ayahnya, Azman (Azri Iskandar) kepada lelaki yang tak dikenali tidak disukai oleh Taufiq dan Saodah. Mereka berasa sangsi dengan kata-kata Zaharah, lebih-lebih lagi Saodah. Saodah tidak mahu Zaharah menjadi penghalang untuk dia menikmati kesenangan harta Aisyah.

Saodah kemudiannya menghalau Zaharah. Aisyah nekad untuk mencari Zaharah. Kehilangan Zaharah mengimbau kembali memori Aisyah akan satu peristiwa hitam yang terjadi kepadanya sewaktu kecil. Apakah sebenarnya yang terjadi sehingga Aisyah bersungguh mahu menjejaki Zaharah? Adakah pembohongan Taufiq akan terbongkar?