Pemerintahan Tribhuwana_Wijayatunggadewi

Menurut Nagarakretagama, Gitarja menaiki takhta di bawah titah bonda Gayatri pada tahun 1329, menggantikan Jayanegara yang dibunuh pada tahun 1328. Ada pandangan yang mengesyaki Gajah Mada sebagai dalang pembunuhan tersebut, kerana Gajah Mada ialah penasihat yang setia terhadap Bonda Ratu Rajapatni yang berusaha keras untuk membebaskan dua anakandanya dari tahanan Jayanegara. Pada masa itu, Rajapatni Gayatrilah ketua dan raja terakhir dalam kerabat diraja Majapahit, dan yang sepatutnya naik takhta kerana Jayanegara tidak berpunyakan seorang anakanda. Namun Bonda Ratu sudah menjadi seorang biarawati, maka anakandanya ditakhtakan.

Puteri Gitarja ditabalkan sebagai raja dengan nama pemerintah baharu Tribhuwannottunggadewi Jayawishnuwardhani, yang bermaksud "Dewi agung kepada tiga dunia yang dirahmati kejayaan Bisnu"[2]. Tribhuwana memerintah dengan pasangan beliau, Kritavardhana.[3]:234Beliau menjadi ibunda dan pendahulu kepada Hayam Wuruk, raja keempat kerajaan Majapahit.

Pada tahun 1331, beliau mengetuai sebuah bala tentera dengan bantuan sepupu beliau, Adityawarman, untuk menghapuskan pemberontakan di Sadeng dan Keta. Beliau menjadi panglima untuk menyelesaikan pertengkaran antara Gajah Mada dan Ra Kembar atas siapa yang akan jadi panglima untuk hapuskan Sadeng. Pada tahun 1334, beliau melantik Gajah Mada sebagai Mahapatih (gelaran Jawa yang sama taraf dengan Perdana Menteri), dan dalam peristiwa ini Gajah Mada mengangkat sumpah Palapanya yang ternama, mengukuhkan azamnya untuk mengembangkan kerajaan mereka ke seluruh Nusantara. Merujuk kepada Pararaton, angkat sumbah beliau mengejutkan seluruh istana dan pegawai. Ada yang antara mereka, tambahan lagi musuh beliau, Ra Kembar, mentertawakan Gajah Mada, mengejeknya seseorang yang banyak mulut dan berimpian palsu. Terhina dengan khalayak istana Gajah Mada bertarung, diwajarkan oleh Tribhuwana, membunuh Ra Kembar dan barangsiapa yang menentang kuasa beliau.

Dengan bantuan Gajah Mada sebagai perdana menteri, Tribhuwana mengecap pengembangan pesat dalam kerajaan beliau. Pada tahun 1343, Majapahit menawan Kerajaan Pejeng, Dalem Bedahulu dan seluruh pulau Bali. Adityawarman dihantar untuk menawan selebih lagi Kerajaan Srivijaya dan Kerajaan Melayu pada tahun 1347. Beliau dinaik pangkat menjadi uparaja (naib raja) Sumatera. Perkembangan Majapahit berlangsung hinggalah di bawah pemerintahan Hayam Wuruk, mencapai Lamuri (kini Aceh) di Barat dan Wanin (Semenanjung Onin, Papua) di Timur.