Venera
Venera

Venera


Venera (Cyrillic: Венера) merupakan satu siri kuar yang dibangunkan oleh Kesatuan Soviet antara tahun 1961 dan 1984 untuk mengumpul data dari Zuhrah, Venera merupakan nama Zuhrah dalam bahasa Russia. Sebagaimana beberapa kuar planet Kesatuan Soviet yang lainnya, versi berikutnya telah dilancarkan secara berpasangan, dengan kenderaan kedua dilancarkan sejurus selepas yang pertama. Sepuluh kuar dari siri Venera berjaya mendarat di Zuhrah dan memancar data dari permukaan, termasuk dua program Vega dan kuar Venera-Halley. Di samping itu, tiga belas kuar Venera berjaya menghantar data dari atmosfera Zuhrah.Antara hasil yang lain, siri kuar tersebut menjadi peranti buatan manusia yang pertama untuk memasuki atmosfera planet lain (Venera 4 pada 18 Oktober 1967), untuk membuat pendaratan dengan selamat di planet lain (Venera 7 pada 15 Disember 1970) , untuk mengembalikan gambar dari permukaan planet (Venera 9 pada 8 Jun 1975), dan melaksanakan kajian pemetaan radar Zuhrah resolusi tinggi (Venera 15 pada 2 Jun 1983). Dengan itu, seluruh siri ini boleh dianggap sangat berjaya. Malangnya keadaan permukaan di Zuhrah adalah melampau, yang bermakna bahawa kuar hanya bertahan di permukaan untuk tempoh 23 minit (kuar awal) sehingga kira-kira dua jam (kuar akhir).