Sinopsis Wadi_(drama)

Wadi mengisahkan seorang remaja berumur 17 tahun bernama Wadi yang hidup bersama ibu tiri dan dua adik kandung perempuan berlainan ibu. Kehidupan mereka susah sekaligus membuatkan Wadi hidup dalam serba kekurangan. Dia juga selalu dihantui rasa bersalah disebabkan kematian ayahnya yang berpunca daripada sikap pentingkan dirinya sendiri. Zainah, ibu tirinya selalu menyalahkan Wadi kerana menyebabkan kematian suaminya Bakri (ayah Wadi). Bakri meninggal dunia semasa hendak membeli kasut spike olahraga untuk Wadi biarpun ketika itu dia tidak berduit. Wadi memahami kesusahan ayahnya dan bercadang untuk kerja secara sambilan bagi mencari duit untuk membeli kasut yang diperlukan tetapi tidak dibenarkan oleh ayahnya.