Wayang_Kulit_Siam

Wayang Kulit Siam (atau Wayang Kulit Kelantan) ialah sejenis kesenian wayang kulit yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Ia merupakan salah satu dari empat jenis persembahan wayang kulit yang terdapat di Malaysia. Wayang Kulit Siam telah dikenal pasti sebagai jenis persembahan wayang kulit yang tertua di Malaysia. Selain itu, jenis wayang kulit ini juga adalah yang paling terkenal dan terpenting di Malaysia sejak dari zaman dahulu hingga kini.Suatu ketika dahulu, kesenian Wayang Kulit Siam pernah mendapat sambutan hangat di kalangan orang-orang Melayu sehingga pengaruhnya telah tersebar dari Kelantan ke negeri-negeri jiran seperti Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. Selain itu, kesenian ini juga pernah bertapak kukuh di empat buah wilayah di kawasan Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla, yang dahulunya merupakan bekas wilayah Kesultanan Melayu Patani.