Etimologi Wayang_Kulit_Siam

Gelaran 'Siam' yang diberikan kepada kesenian wayang kulit ini adalah dipercayai merujuk kepada negara Siam (kini Thailand). Sejarah teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dipercayai telah dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Maka dari situlah, kesenian ini diberi nama Wayang Kulit Siam.

Selain itu, kesenian Wayang Kulit Siam juga dikenali sebagai Wayang Kulit Kelantan kerana sejarah asal-usul wayang kulit itu sendiri bermula di Kelantan. Masyarakat Melayu Patani di selatan Thailand pula menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' kerana kesenian ini telah dibawa masuk ke negeri Patani dari Kelantan. Di Pahang pula, kesenian ini lebih dikenali sebagai 'Wayang Pahang' yang dipersembahkan oleh orang-orang Melayu Kelantan yang berhijrah ke negeri tersebut.