Format What_Women_Want

Dalam setiap episod, para peserta dikehendaki menyahut pelbagai cabaran berlainan yang menguji ketabahan fizikal dan kecekalan mental sebagai ujian untuk menilai keserasian setiap lelaki tersebut dengan kehendak dan jangkaan wanita.

Pada permulaan setiap episod yang disiarkan, rakaman sekumpulan kecil wanita ditemubual mengenai kehendak mereka terhadap lelaki idaman mereka berdasarkan suatu tema yang ditentukan untuk cabaran dalam episod itu.

Sepanjang setiap satu episod, para peserta perlu mengharungi dua cabaran:

  1. Cabaran Ganjaran (Rewards Challenge): menawarkan ganjaran bagi pemenang cabaran tersebut iaitu bermalam dengan pengacara bersama seorang lagi rakan seperjuangan;
  2. Cabaran Penyingkiran (Elimination Challenge): menentukan nasib peserta dengan ancaman penyingkiran. Hanya juara cabaran ini yang terselamat dari penyingkiran, manakala peserta yang paling buruk prestasinya diancam penyingkiran.

Bukan sahaja peserta yang paling rendah prestasinya ketika cabaran itu diancam penyingkiran, malah para peserta juga boleh mengundi keluar seorang lagi daripada mereka, atas sebab kurang puas hati dengan kehadirannya dalam pertandingan.

Kedua-dua peserta yang menghadapi penyingkiran itu terpaksa menghadapi sebarisan juri yang semuanya wanita, iaitu tiga orang awam dan seorang selebriti. Barisan juri inilah yang menentukan nasib dua orang lelaki itu, sama ada salah seorang daripada mereka, kedua-dua mereka ataupun tiada seorang pun yang tersingkir.

Setelah bersemuka dengan juri, peserta yang dinamakan untuk penyingkiran itu bersiap sedia dengan mengisi bagasi mereka sekiranya tersingkir dan berehat dalam sebuah ruangan khusus dalam hotel sementara para juri membincangkan keputusannya. Setelah selesai, juri menyerahkan keputusan mereka kepada Hannah t yang seterusnya mengumumkan keputusan tersebut kepada peserta tersebut.

Pada penghujung setiap episod dalam penyiaran juga terdapat klip pendek yang memaparkan hannah t memberi tip-tip perapian bagi lelaki (Male Grooming Tips) ketika terpaparnya senarai krew rancangan (credits).