Wikipedia:Perang_sunting

Perang sunting dikatakan berlaku apabila para penyunting yang tidak bersetuju tentang kandungan rencana berkali-kali membatal atau menolak sumbangan sesama sendiri, tanpa mencuba untuk menyelesaikan pertikaian melalui perbincangan. Perang sunting merupakan tindakan yang tidak membina dan menggalakkan perseteruan antara para penyunting, sekali gus menyukarkan sepersetujuan. Para pengguna yang mengambil jalan untuk melakukan perang sunting boleh disekat ataupun dikenakan larangan. Sila maklum bahawa seseorang penyunting yang memulihkan suntingannya berkali-kali dianggap sedang berperang sunting, tidak kira sama ada penyuntingan itu berasas ataupun tidak: berkata, "tetapi suntingan saya betul, jadi saya bukan berperang sunting" tidak boleh digunakan sebagai alasan. Terdapat satu peraturan yang disebut '3RR atau peraturan pengunduran tiga kali (three-revert rule, 3RR). Pengunduran bermakna membalikkan tindakan penyunting lain. 3RR menyatakan bahawa seseorang penyunting tidak boleh mengubah sesuatu laman dengan melakukan lebih daripada tiga pengunduran, sama ada sepenuhnya ataupun sebahagian, melibatkan bahan yang sama ataupun yang lain, dalam tempoh 24 jam. Tindakan yang dilihat sebagai cubaan untuk memainkan sistem dengan bertindak membuat pengunduran kali keempat sejurus selepas tamat tempoh slot 24 jam berkemungkinan besar akan dianggap sebagai pelanggaran 3RR. Terdapat pengecualian daripada 3RR, seperti mengundurkan laku musnah ataupun pelanggaran polisi Biografi orang yang masih hidup; lihat pengecualian 3RR untuk mendapatkan butiran. 3RR merupakan pengehadan berguna apabila perang sunting berlaku dengan cepat, akan tetapi 3RR bukan definisi "perang sunting" dan perang sunting masih boleh berlaku tanpa penyunting melanggar peraturan 3RR.