Plot 1957:_Hati_Malaya

Suatu permulaan

Lima orang generasi muda mengkaji sejarah kemerdekaan Malaysia.

Filem ini dimulakan dengan dipaparkan Raja-raja Melayu dipaksa menurunkan tandatangan untuk mempersetujui penggubalan Malayan Union sebelum masuk ke plot utama. Plot filem ini mengisahkan cerita dua era yang berbeza iaitu generasi kini pada masa moden yang mencari cerita tentang kemerdekaan dan generasi silam yang berusaha mencapai kemerdekaan.

Plot era kini meneritakan lima sahabat iaitu Hali, Salmi, Rafik, Ani dan Ang Lee berusaha keras untuk menerbitkan sebuah buku ilustrasi tentang kemerdekaan yang bertajuk "1957 - Hati Malaya". Hali berperanan sebagai editor menjadikan bekas rumah datuknya sebagai pejabat mereka. Dalam pada masa yang sama, Hali berusaha mengumpulkan wang sekurang-kurangnya RM 2 juta untuk mendapatkan semula rumah yang penuh kenangan itu. Salmi, yang juga kekasih Hali, merupakan jurugambar dan turut menguruskan bahagian grafik bagi penerbitan ini. Rafik pula menguruskan bahagian ilustrasi dan grafik keseluruhan buku, Ani menguruskan semua laporan dan berita manakala Ang Lee menjadi akauntan bagi kumpulan mereka. Mereka bertungkus-lumus ingin menjayakan penerbitan buku sulung mereka itu.

Sambil mereka cuba menyiapkan buku tersebut, imbasan bermula dengan tiga orang dari tahun 1940-an iaitu Normala, Muzafar dan Khalilah berpindah untuk membuka Warung Asam Laksa. Kemudian dipaparkan perbincangan Anwar Malek iaitu seorang ketua kerani Jabatan Kerja Raya, dan Dato' Onn yang ketika itu merupakan Pegawai Daerah Batu Pahat, tentang kerisauan mereka dengan penubuhan Malayan Union. Mereka kemudian mengusulkan satu persatuan untuk mengumpul orang-orang Melayu menentang gagasan tersebut dan Anwar menamakan "United Malays Organisation" (UMO).

Keutuhan UMNO

Diperlihatkan juga penubuhan UMNO di Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur dengan ucapan bersemangat dari Dato' Onn. Ketika itu, Normala telah menambat hati Rozhan dan Zahari. Mereka bersama-sama di kelab tersebut untuk menyaksikan detik bersejarah.

Setelah tertubuhnya persatuan tersebut, orang Melayu dilihat berkabung dan berkumpul pada hari perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor pertama Malayan Union. Dato' Onn bersama Raja-raja Melayu turut berada di Hotel Station dan tidak berganjak sebagai tanda memulau gagasan itu.

Setelah dimansuhkan Malayan Union, UMNO kini ingin beralih perhatian kepada kemerdekaan negara tetapi pihak Inggeris ingin persepaduan antara kaum lain selain kaum Melayu. Kaum Cina ketika itu menghadapi masalah apabila kebanyakan mereka disyaki terlibat dengan komunis. Harapan mereka untuk terlepas dari belenggu tersebut ialah bersama dengan UMNO untuk meyakinkan Inggeris mancapai kemerdekaan.

Dato' Onn mendapat cubaan yang hebat apabila beliau dikatakan gila kuasa ketika memegang kedua-dua jawatan sebagai Menteri Besar Johor dan Presiden UMNO. Lantas, Dato' Onn meletakkan jawatannya. Kemudian, cadangan Dato' Onn untuk memberikan peluang kepada orang bukan Melayu menyertai UMNO mendapat tentangan ramai lalu beliau mengambil keputusan mengundurkan diri. Orang UMNO mula memujuk Tunku Abdul Rahman, kerabat Sultan Kedah yang berkelulusan undang-undang di England, untuk mengambil alih pucuk kepimpinan UMNO dan hal ini mendapat sokongan kebanyakan ahli UMNO. Ketika itu, orang Melayu seolah-olah berpecah kepada Dato' Onn memulakan Independence Malayan Party (IMP) dan Tunku yang meneruskan agenda UMNO untuk mendapatkan kemerdekaan. Hal tersebut turut mempengaruhi Normala yang menyokong UMNO di bawah Tunku manakala Zahari, kekasih hatinya berpihak kepada Dato' Onn.

Lakonan semula babak Tunku oleh Mohd Kamarulzaman Taib ketika perjumpaan UMNO-MCA.

Pada 1954, Tunku dan beberapa orang yang lain mengadakan perjumpaan umum untuk meminta pandangan ramai tentang rombongan ke England dan usul tersebut dipersetujui ramai. Walau bagaimanapun, Tunku menjelaskan yang mereka tidak mempunyai duit kerana habis digunakan untuk berkempen. Normala yang ada ketika itu, menyatakan yang dia akan membantu dengan apa yang ada. Dia menanggalkan barang kemas dan diikuti oleh ramai orang yang berduyun-duyun mendermakan duit dan barang kemas. Hal ini menitiskan air mata Tunku yang terharu dengan semangat rakyat Tanah Melayu.

Menjelang kemerdekaan

Rombongan Tunku ke London tidak berjaya. Pada masa yang sama, Zahari dan Rozhan bertekak tentang pendirian mereka di Warung Kak Lah. Mereka kemudian bertelagah hingga berlawan hingga menyebabkan kekecohan di situ.

Walau bagaimanapun, percubaan pertama tidak mematahkan semangat mereka. Cubaan demi cubaan berlangsung hingga bermulanya Pilihan Raya 1955 yang dikuasai oleh Parti Perikatan yang disertai bersama UMNO, MCA dan MIC sebanyak 51 kerusi daripada 52 kerusi. Tunku dilantik menjadi Ketua Menteri dan berpindah ke sebuah rumah yang disediakan kerajaan. Rumah yang usang hinggakan bocor atapnya apabila hujan membuatkan Tunku semakin geram dan beriya-iya untuk mendapatkan kemerdekaan.

Ditunjukkan kemudian perjumpaan antara Sardon Jubir, Ahmad Badawi dan Sheikh Abdullah Fahim untuk meminta pandangan Syeikh tentang tarikh yang sesuai untuk dijadikan tarikh kemerdekaan. Syeikh menyatakan kesesuaian tarikh 31 Ogos 1957. Tunku sekali lagi ke England pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan dan kali ini, Tunku mendarat pulang di Melaka dengan khabar gembira bahawa Tanah Melayu akan mendapatkan kemerdekaan sepenuhnya dalam Komanwel pada 31 Ogos 1957. Normala, Zahari, Rozhan, Muzafar, Khalilah dan ramai lagi turut berada di sana untuk menyaksikan sendiri detik tersebut.

Kemudian ditunjukkan Hali dan Rafik keluar dari pejabat penerbitan dengan buku mereka baru diterbitkan. Mereka membawa pulang dan menunjukkan kepada Salmi, Ani dan Ang Lee. Hali kemudian bersedia melepaskan rumah datuknya itu memandangkan dia sudah memiliki rakan yang sangat memahami. Keesokannya, mereka menuju ke Dataran Merdeka untuk mengimbas kenangan malam kemerdekaan yang pertama iaitu ketika Tunku tiba di sana untuk menyaksikan turunnya Union Jack diiringi gemaan terakhir lagu "God Save the Queen" dan berkibarnya buat kali pertama bendera Tanah Melayu dan berkumandangnya lagu Negaraku. Turut dipaparkan Dato' Onn dan Datin Halimah mendengar peristiwa tersebut dari radio sambil menitiskan air mata kegembiraan.

Rujukan

WikiPedia: 1957:_Hati_Malaya //scholar.google.com/scholar?q=%221957:+Hati+Malay... //www.google.com/search?&q=%221957:+Hati+Malaya%22... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%221957:... //www.google.com/search?q=%221957:+Hati+Malaya%22&... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%221957:+Hati+... http://www.youtube.com/watch?v=G53ETWOrZaw http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/index.php?mo... http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...