Pengguna A-4_Skyhawk

Tentera Udara Diraja Malaysia

A-4 Skyhawk Tentera Laut A.S.


Dalam tahun 1982, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pembelian 80 buah kerangka A-4C dan A-4L yang sebelumnya digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang disimpan di Pengkalan Udara Davis Monthan untuk pengubahsuaian kepada satu standard A-4PTM (Peculiar to Malaysia). Program ini adalah sebahagian daripada program pembesaran 'Perista' Angkatan Tentera Malaysia.

40 daripada kerangka tersebut dimodenkan dan dibaikpulih oleh Grumman Bethpage sementara yang selainnya disimpan untuk kegunaan alat ganti dengan 34 buah A-4PTM dan 6 buah pesawat TA-4PTM dibina. Antara penambahbaikan yang dibuat adalah pemasangan komputer pengeboman Hughes ARBS, kelengkapan radio baru dan keupayaan membawa lebih banyak ordnans. Pesawat A4-Skyhawk mula dihantar kepada TUDM dalam bulan Disember 1984 dan ditempatkan di TUDM Kuantan dan berkhidmat dengan Skuadron No. 6 dan skuadron No. 9 TUDM.

Pesawat A-4 Skyhawk PTM yang digunakan TUDM menggunakan enjin Wright J65-W-420 yang telah diubahsuai dengan tujahan 3,465 kg dan mampu terbang pada kelajuan 1,083 kmj. A-4PTM juga dilengkapi dengan alat mengisi minyak dalam penerbangan daripada pesawat induk KC-130H Hercules atau dari pesawat Skyhawk lain yang dipasangkan dengan buddy tank. Malangnya pesawat A-4 Skyhawk mengalami pelbagai masalah senggaraan sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM dan mengalami kadar kemalangan yang agak tinggi yang berakhir dengan kematian juru terbang. Berikutan itu, pesawat A-4 Skyhawk dihentikan perkhidmatannya apabila TUDM menerima pesawat BAE Hawk 108 dan Hawk 208 untuk peranan serangan darat.