Biografi A._Rahim

Ketika mempraktikkan ilmu silat

Beliau dilahirkan sebagai Abdul Rahim bin Abu pada 1930 di Kuala Kangsar, Perak dan merupakan bekas biras P. Ramlee kerana dia pernah berkahwin dengan Junainah (adik Junaidah isteri pertama P. Ramlee).

Beliau banyak berlakon dalam produksi Malay Film Production dan juga berlakon filem Cathay Keris (Seri Mersing dan Rumah Itu Dunia Aku). Rata-ratanya banyak watak antagonis yang dipegangnya - cuma sekali dua berlakon watak baik misalnya dalam filem Isi Neraka, Anak Buloh Betong serta watak lawak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok apabila beliau memegang watak sebagai Momotaro-San, salah seorang daripada 40 orang penyamun yang berketurunan Jepun-Muslim dan dari situlah nama beliau dikenali.

Selain berlakon, beliau juga merupakan pakar seni beladiri dan turut menjadi tenaga pengajar untuk babak pergaduhan kepada beberapa pelakon, sebaris dengan seniman Salleh Kamil dan S. Kadarisman. Salah satunya ialah pencak Silat Kuntau Tekpi dan berkemahiran bermain pisau Tekpi dimana beliau mendapat didikan dari guru Zainal Abidin Baling. Pencak yang sama turut dipelajari bekas birasnya, P.Ramlee untuk berlakon dalam filem Enam Jahanam.

Selepas malapnya era filem Melayu di Singapura, beliau pulang semula ke Malaysia dan terus berlakon beberapa filem lagi, seperti Pendekar, Esok Masih Ada, Bukit Kepong dan lain-lain. Selain itu, beliau juga aktif berlakon dalam drama-drama RTM.

Beliau meninggal dunia pada hari Isnin, 20 April 1992 dalam van miliknya di perkarangan Studio Merdeka, akibat sakit jantung pada usia 62 tahun.[1][2][3][4] Jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman Singapura.