Ringkasan Ahmad_Albab

Mengisahkan di Kampung Pening Lalat tentang 3 orang adik beradik perempuan Mastura (Saloma), Zahara (Mariani) dan Suhara (Mimiloma). Ayah mereka Saudagar Mas'hud Al Buaya (A. R. Tompel) berhasrat untuk mengahwinkan anak anak mereka dengan pilihannya. Keesokkan harinya dia berjumpa dengan Ainul, ayah kepada Muharam (Tony Azman) untuk masuk meminang untuk anak sulungnya , Zahara. Kemudian dia berjumpa dengan Sahibul Khaitam, ayah kepada Safar (Karim Latiff) untuk anak bongsunya, Suhara. Mas'hud sanggup membayar wang hantaran sebanyak 88 dinar dan belanja hangus 2000 dinar serba dua untuk setiap anaknya. Hanya Mastura sahaja yang berdegil untuk tidak menuruti perintah ayahnya. Keluarga Muharam dan Safar mempunyai niat jahat untuk membolot harta Mas'hud dalam tempoh 3 bulan selepas anak mereka berumah tangga. Selepas beberapa hari majlis perkahwinan Zahara dan Suhara, Mas'hud dan orang-orangnya telah memaksa Mastura berkahwin dengan seorang pengembala kambing yang bernama Syawal (P. Ramlee). Walaupun Syawal kebingungan, Mastura tetap sudi menjadi isteri kepada Syawal. Syawal sungguh gembira dan memberitahu kepada ibunya (Minah Hashim). Saudagar Umar (M. Suki) sungguh gembira tentang berita pernikahan ini. Dan di malam harinya, dia telah meraikan majlis keramaian meraikan pasangan mempelai tersebut.

Muharam dan Safar tidak bekerja dan sering berbohong dan menggadaikan harta milik isterinya. Di belakang isterinya, mereka berfoya-foya di kelab malam. Selepas harta tersebut telah habis di belanjakan, mereka pergi berjumpa mak ayah masing masing untuk meminjam sedikit wang tetapi tidak diendahkan oleh orang tua masing masing. Manakala Syawal pula dinaikkan gajinya oleh Saudagar Umar. Dengan wang itu, Syawal telah membelikan sebentuk cincin untuk Mastura sebagai hadiah perkahwinannya. Kerana kesempitan hidup, Muharam dan Safar telah melakukan satu rompakan di kedai barang kemas di malam hari. Hasil dari rompakan tersebut, mereka mempersembahkan kepada isteri masing masing. Di suatu hari, Mas'hud telah mengirim surat kepada anak menantunya untuk hadir ke jemputan hari jadinya dan mesti membawa hadiah yang istimewa. Muharam dan Safar tidak mempunyai masalah untuk memberikan hadiah kepada ayah mertuanya. Muharam dan Safar telah bersepakat untuk membeli semua kambing milik Saudagar Umar, ini bermakna Syawal tidak lagi mempunyai pekerjaan dan ini sangat merungsingkan dia kerana hari jadi Mas'hud akan berlangsung tidak lama lagi.

Syawal berasa sangat sedih tetapi dia telah ditenangkan oleh Mastura kerana hasil tanamannya telah membuahkan hasil. Syawal kembali senang semula. Tiba di hari jadi Mas'hud. Suhara, Safar, Muharam dan Zahara telah memberikan hadiah yang istimewa kepadanya. Akan tetapi Syawal telah memberikan hadiah semangkuk garam dan gula lalu diherdik oleh Mas'hud manakala Mastura pula memberikan hadiah berupa sekeping roti gandum/chapatti tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula. Mas'hud telah dipermainkan di hari jadinya oleh Syawal dan Mastura. Syawal meneruskan perniagaan menjual hasil pertaniannya di pasar pagi. Kehidupannya bertambah senang. Di suatu hari, Saudagar Umar dan Mualif (Ibrahim Sabtu) telah menawarkan pekerjaan semula menjaga semua kambing kambingnya kepada Syawal. Syawal nampak keberatan untuk membantu kerana dia sudah menjadi ahli perniagaan sekarang ini. Namun begitu, ibunya sudi membantu Syawal untuk menjual hasil pertanian di pasar manakala Syawal menjaga kambing milik saudagar tersebut.

Suatu hari, seekor kambingnya telah tersesat ke dalam gua. Syawal pergi menyelamatkan, alangkah terkejutnya dia mendapati terdapat banyak harta karun di dalam gua tersebut. Tiba tiba satu suara jin (Ahmad Dadida) menegurnya dengan menyatakan harta tersebut adalah milik Ahmad Albab. Syawal kebingungan, siapakah Ahmad Albab. 7 bulan kemudian, Mastura selamat melahirkan seorang anak lelaki tetapi anakya kerap menangis dan ini merisaukan Syawal, Mastura dan ibunya. Bermacam tempat diubatinya tetapi tetap tidak berhasil. Ini menyebabkan anaknya belum diberikan nama. Atas nasihat jiran tetangganya, Syawal dan Mastura membawa anaknya berjumpa ibu dan ayah mertuanya. Mas'hud telah berjaya mendiamkan anaknya dan diberikan nama Ahmad Albab. Ketika itulah Syawal teringat akan nama tersebut beberapa bulan lepas lantas dia terus membawa Ahmad Albab berjumpa dengan Jin di dalam gua tersebut. Syawal diberikan upah oleh Jin dengan bersyarat. Syawal perlu membawa Ahmad Albab setiap satu purnama untuk bermain dengan anaknya dari kecil sehinggalah besar. Syawal menurutkan sahaja. Kehidupan Syawal bertambah senang dan menjadi orang kaya di Kampung Pening Lalat. Syawal kerap membantu orang orang miskin dan yang dilanda musibah. Syawal juga telah mengikat jamin sebanyak 10,000 dinar kedua-dua birasnya yang dipenjarakan atas kesalahan merompak. Mas'hud telah mengirim surat menjemput ke hari jadinya. Hal ini merungsingkan bagi Muharam dan Safar. Kali ini, mereka berhasrat untuk merompak di rumah Syawal. Selepas Syawal dan Mastura meninggalkan rumah untuk pergi ke gua, mereka melakukan kerja rompakan tersebut tetapi telah ditangkap oleh pengawal keselamatan di rumah Syawal. Tiba di hari jadinya, Muharam dan Safar menghadiahkan intan dan berlian manakala Syawal menghadiahkan sebuah replika masjid untuk ayahnya agar dia bertaubat kepada Allah dan tidak bercakap takbur lagi. Muharam dan Safar memujuk Mas'hud agar tidak mengherdik Syawal kerana Syawal yang banyak membantu mereka. Hadiah yang diberikan itu adalah milik Syawal. Mas'hud masih tidak memepercayai akan Syawal yang sudah menjadi hartawan dan dermawan. Sehingga dia membuktikan dengan pakaian mewahnya baharulah Mas'hud mempercayai dan menganggapnya sebagai menantu kesayangannya.