Pertubuhan Ahmad_Awang

Di samping menjalankan tugas-tugas rasmi dalam perkhidmatan kerajaan, Ahmad Awang aktif menyertai dan menerajui pertubuhan-pertubuhan NGO di pelbagai bidang khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan. Di antaranya beliau menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun, dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Lain-lain pertubuhan yang pernah beliau pimpin adalah Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, Persatuan Bekas Pelajar Maahad Al-Ehya’ Ash-Shariff Gunung Semanggol dan Persatuan Pelajar Kolej Islam Malaya.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Syariah Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia, Timbalan Pengerusi Panel Syariah Bank RHB, dan anggota Panel Syariah beberapa institusi kewangan yang lain. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad, Iraq dan ahli Persidangan Himpunan Islam Republik Islam Iran.