Pendidikan Ahmad_Awang

Setelah 4 tahun belajar di sekolah Melayu, beliau memulakan pengajian agama di Maahad Al-Ehya Al Shariff, Gunung Semanggol bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah atas (Thanawi Rabi’). Sekolah Agama Rakyat ini ketika itu bukan sahaja terkenal sebagai pusat pendidikan, tetapi juga dikenali sebagai sebuah institusi gerakan Islam dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang ditakuti oleh penjajah. Dato’ Onn Jaafar yang menjadi Presiden UMNO yang pertama pernah mengungkapkan kata-kata “hubaya, hubaya, bahaya dari gunung”. Ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang ditahan oleh penjajah Inggeris adalah terdiri daripada lepasan maahad ini. Di sinilah ditanam semangat perjuangan Islam dalam setiap diri pelajarnya.

Kemudian Ahmad Awang menamatkan pendidikan peringkat tinggi di Kolej Islam Malaya. Selepas itu menyambung pelajaran dalam bidang perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperolehi Ijazah Sarjana di samping Diploma Pendidikan dari universiti yang sama.

Ahmad Awang memulakan perkhidmatan dalam bidang pendidikan sebagai guru agama kementerian di Sekolah Menengah St David High School, Melaka sebelum melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1963 dengan Biasiswa Kementerian Pelajaran. Selepas menamatkan pengajian di [[Universiti Al-Azhar], Ahmad Awang bertugas menjadi guru semula di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Kemudian berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar sebagai Pegawai Perancang Agama Dewasa. Kemudian,beliau bertugas sebagai pensyarah pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila ditubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974, beliau dilantik sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, selepas itu ditukarkan ke Kementerian Pelajaran pada 1980 dan kembali semula ke Bahagian Agama JPM, kini dikenali sebagai JAKIM, sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam dan akhir sekali menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan Islam sehingga bersara pada 1991.