Ahmad Bin Haji Hassan yang lebih dikenali sebagai
Ahmadi Hassan atau
Pak Chat merupakan seorang pelakon radio, pengarah, penerbit drama, penerbit filem, pencipta lagu dan
penyanyi genre muzik dangdut, padang pasir, irama melayu dan nasyid di era 70-an dan 80-an.Ahmadi Hassan lahir pada 17 Jun 1947 di Kampung Padang Menora, Seberang Perai Utara dan merupakan anak kelima dalam keluarga Allahyarham Haji Hassan.Ahmadi Hassan dimasukkan ke sekolah rendah dalam tahun 1954 dan seterusnya ke sekolah menengah. Atas kejayaan awal itu, Ahmadi Hassan telah memohon untuk menjadi guru. Pada tahun 1969, beliau berjaya menjadi guru sementara di salah sebuah sekolah di Alor Biak, Air Hitam (Kedah). Beliau mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.Semasa menjadi guru sementara inilah, Ahmadi Hassan mengisi masa lapang dengan menyertai aktiviti teater (ketika itu dipanggil 'sandiwara'). Di saat ini, kecenderungan beliau dalam bidang penulisan dan pengarahan drama amat ketara. Drama pertama yang ditulis dan diarah adalah "KEMBALI" yang dipentaskan di Sekolah Menengah PGAS dalam tahun 1967.Ahmadi Hassan akhirnya meletakkan jawatan sebagai guru sementara. Dalam tahun 1971, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan azam untuk menjadi seorang juruhebah radio.Sebelum bertapak di RTM, Ahmadi Hassan pernah bekerja di stesen minyak Shell, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu dengan berbekalkan pengalaman yang ada, beliau akhirnya diterima bertugas di RTM sebagai juruhebah/penerbit di bahagian Siaran Pembangunan dan Pertanian RTM.Semasa berada di bahagian Pembangunan dan Pertanian ini, Ahmadi Hassan sering menerbitkan rancangan-rancangan berbentuk siasah, belia bergerak maju, halaman pertanian dan perniagaan.Bermula daripada kerjaya sebagai juruhebah ini, Ahmadi Hassan mula dikenali sebagai
Pak Chat kerana peranan utamanya dalam siri drama pembangunan berjudul
Fajar Di Bumi Permata.Bersandarkan daripada kejayaan drama Fajar Di Bumi Permata serta populariti beliau membawa watak tersebut, Ahmadi Hassan telah ditawarkan kontrak rakaman suara oleh Allahyarham
M.Shariff. Bermula daripada album pertama beliau berentak irama hindustan, wujudlah nama
Ahmadi Hassan yang dikenali sehingga ke hari ini.Dari semasa ke semasa, Ahmadi Hassan banyak menerima undangan persembahan pentas (menyanyi dan berlawak), selain undangan dari stesen televisyen RTM. Video klip beliau juga sering disiarkan di televisyen manakala lagu-lagu beliau terutamanya nasyid kerap dimainkan di radio pada waktu itu.Setelah beberapa tahun di RTM, Ahmadi Hassan berhijrah ke RISDA. Tujuan beliau adalah untuk mencari pengalaman serta mendekatkan diri dengan bidang perniagaan. Ahmadi Hassan sempat menceburkan diri dalam perniagaan ikan kering, import lembu dari Siam, mengedar basikal BMX sehinggalah akhirnya menjadi penerbit drama swasta, telefilem dan filem. Drama swasta pertama terbitan beliau adalah
Darah Daging yang mana skripnya ditulis oleh seorang penulis yang tidak asing lagi iaitu Allahyarham
Azizi Abdullah, manakala diarahkan pula oleh Allahyarham
Aziz Satar. Sebuah lagi skrip tulisan Allahyarham Azizi Abdullah yang diterbitkan oleh Ahmadi Hassan ialah drama
Seorang Tua Di Kaki Gunung.Selain menerbitkan drama, Ahmadi Hassan juga banyak mengarahkan drama untuk siaran RTM dan TV3. Beliau juga telah menghasilkan filem pertamanya berjudul
Penghujung Malam (sebagai pengarah dan penerbit) lakonan Noor Kumalasari, Khalid Saleh, Melissa Saila dan Allahyarham Yusni Jaafar.Ahmadi Hassan telah kembali ke Rahmatullah pada
17 Februari 2010 kerana komplikasi buah pinggang.
[1] Semasa hayat beliau, Ahmadi Hassan berpeluang merakamkan 16 buah album berentak hindustan serta 8 buah album pop dan berirama padang pasir (nasyid). Beliau juga berpeluang menghasilkan sebuah album berbahasa Arab di Cairo, Mesir berjudul
Samrah Ya Samrah dalam sekitar tahun 1980-an.Album terakhir Ahmadi Hassan berjudul
Bahagia Berkasih telah dinobatkan sebagai
Album Nasyid Terbaik di
Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-14. Kemenangan itu amat bermakna buat beliau, apatah lagi album tersebut adalah album nasyid penuh berirama padang pasir yang menggunakan muzik orkestra Arab yang telah diidamkan produksinya sejak sekian lama.Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmadi Hassan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.AL-FATIHAH.