Kerjaya Aizat_Amdan

Beliau telah menulis lagu dan menyanyi sejak berusia 12 tahun ketika mula belajar bermain gitar bersama abangnya, Anas. Aizat beraksi di persembahan sekolah dan tampil di pertandingan peringkat sekolah. Beliau menulis lagu "Lagu Kita" ketika menuntut Tingkatan 3, yang kemudiannya dimuatkan dalam album pertama Aizat, Percubaan Pertama.[3]

Setelah tamat pengajian dari sekolah menengah, Aizat menyertai Akademi Fantasia (AF) musim kelima dan diterima sebagai seorang daripada 12 orang peserta akhir. Beliau menyanyikan lagu "Perpisahan" nyanyian Anuar Zain dan persembahannya dianggap sebagai salah satu persembahan terbaik. Aizat mendapat tempat ke-7.[4]

Pada 7 Julai 2007, beliau dan keluarganya menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE). Dari situ, beliau melancarkan tiga buah album melalui label ini dan telah menganjurkan beberapa konsert di seluruh Semenanjung Malaysia dan Borneo.[5]

Pada 14 September 2011, Aizat bersama pelakon dan pengarah Syamsul Yusof telah terpilih sebagai penerima anugerah Tokoh Muda Negara 2011 yang disampaikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Najib Tun Razak bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54.[6] Aizat membuat penampilan khas sebagai Ijoi dalam filem Istanbul Aku Datang! arahan Bernard Chauly pada tahun 2012.

Beliau melancarkan EP pertamanya, Legasi pada 27 Mei 2014 dalam format piring hitam. Bagi menyiapkan album ini, beliau terbang ke Jerman untuk mencetak piring hitam ini kerana Malaysia tidak mempunyai kemudiahan mencetak kulit hitam. Legasi memuatkan sebanyak lima buah lagu dengan kolaborasi bersama Yuna Zarai, Zee Avi, Noh Salleh dan Azlan & The Typewriter.[7][8] Bagaimanapun, album ini hanya boleh didapati melalui bidaan dan tidak dijual di pasaran terbuka.[9]