Al-Munir_(majalah)

Al-Munir ialah sebuah majalah Islam yang ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu, dan ia diterbitkan di Padang dari tahun 1911 hingga 1915. Diterbitkan pertama kalinya di atas inisiatif daripada Abdullah Ahmad pada awal tahun 1911, Al-Munir disenaraikan sebagai media massa Islam pertama di Indonesia.[1][2][3] Majalah itu sering kali dikaitkan dengan majalah Al-Imam yang diterbitkan di bawah arahan Syeikh Tahir Jalaluddin di Singapura pada tahun 1906 hingga 1909. Selain Abdullah ahmad, beberapa tokoh agama seperti Abdul Karim Amrullah, Muhammad Thaib Umar dan Sutan Muhammad Salim telah dicatatkan dalam barisan lembaga redaksi.Membawa misi sebagai medium untuk pergerakan kaum Muda, majalah tersebut memainkan peranan yang penting dalam gelombang kedua pembaharuan Islam di Sumatera Barat pada awal kurun ke-20. Al-Munir menampilkan beberapa rubrik yang merangkumi rencana-rencana berkaitan Islam, forum soal jawab yang berkaitan dengan isu-isu fiqah, perkembangan kegiatan intelektual Islam di dunia dan riwayat yang biasanya diterjemahkan daripada majalah-majalah Islam di Timur Tengah. Walau bagaimanapun, kerana kekangan belanjawan, majalah tersebut menghentikan penerbitannya pada tahun 1915. Meskipun begitu, kelahiran Al-Munir kemudiannya diikuti oleh penerbitan yang serupa oleh pelbagai pergerakan Islam di merata kepulauan.