Sejarah Al_Haram_Al_Sharif

Keindahan dan kecantikan Al Haram Al Sharif di Baitulmuqaddis menarik ribuan pelancong daripada pelbagai agama mengunjunginya setiap tahun. Kebanyakan orang bukan Islam percaya ia merupakan bekas tapak Kuil Solomon (Solomon ialah Nabi Sulaiman a.s.') yang dimusnahkan oleh Nebuchadnezzar dari Babylon pada tahun 586 SM, atau tapak Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh Empayar Rom pada tahun 70 masihi.

Bagi orang Muslim di seluruh dunia, kawasan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana ia adalah kawasan berlakunya Israk Mikraj yang mana Nabi Muhammad s.a.w. menerima perintah solat lima waktu sehari semalam dan juga sebagai kiblat pertama umat Islam.

Israk Mikraj

Pada tahun kesembilan misi Rasulullah s.a.w., lebih kurang tahun 620 masihi, Nabi Muhammad berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram, Makkah. Selepas beribadat, baginda tertidur seketika dekat Kaabah. Malaikat Jibril datang mengejutkan Rasulullah daripada tidur dan membawa baginda ke hujung Masjidil Haram. Menanti mereka ialah sejenis makhluk yang bernama Al Buraq. Rasulullah kemudiannya menaiki Al Buraq yang kemudian membawa baginda ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis dalam sekelip mata.

Pemandangan udara Al-Haram Al-Sharif, dengan Qubbat As-Sakhrah di tengah, Tembok Barat dan Masjid Al Aqsa di bawah.

Apabila tiba di Baitulmuqaddis, Rasulullah turun daripada Al Buraq dan bersembahyang dekat sebuah batu. Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan nabi-nabi yang lain berkumpul bersama dan bersolat bersama-sama baginda. Nabi Muhammad s.a.w. dipersembahkan semangkuk arak dan semangkuk susu. Rasulullah s.a.w. memilih susu. Malaikat Jibril a.s kemudiannya berkata "Ternyata engkau telah memilih ajaran yang sebenar". Rasulullah kemudiannya naik ke langit untuk menerima perintah menunaikan solat kepada umat Islam.

Penaklukan Baitulmuqaddis

Pelan Al Haram Al Sharif pada tahun 1890.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmuqaddis. Ketua Gereja Baitulmuqaddis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmuqaddis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke Gereja Makam Suci yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmuqaddis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjidil Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan Al Haram Al Sharif.