Ringkasan Ali_Baba_Bujang_Lapok

Mengisahkan Ali Baba (Aziz Sattar), seorang yang miskin dan papa kedana. Dia sering menghantar Norsiah (K. Fatimah), isterinya ke rumah Kassim Baba, abangnya, untuk meminjam gandum supaya mereka dapat makan, tetapi Kassim Baba (S. Shamsuddin) seorang yang kedekut kecewa dengan adiknya itu dan seringkali memberitahu isterinya bahawa Ali Baba ialah seorang yang pemalas. Suatu hari, semasa Ali Baba sedang keluar mencari kayu api, dia terlihat sekumpulan 40 penyamun berkawad melalui hutan sambil membawa hasil rompakan. Dia bersembunyi di sebatang pokok dan melihat ketua penyamun (P. Ramlee) berdiri di hadapan sebuah gunung batu sambil menyanyikan mentera di dalam Bahasa Jawa untuk membuka mulut gua batu tersebut. Ali Baba menunggu sehingga kesemua penyamun meninggalkan gua sebelum dia turun dari atas pokok dan menggunakan mentera itu untuk membuka mulut gua tersebut. Dia mendapati di dalam gua tersebut penuh dengan harta-benda dan barang kemas, tetapi dia hanya mengambil satu peti berisi syiling emas sahaja.

Dengan wang emas tersebut Ali Baba mampu membayar balik kesemua hutangnya pada abangnya serta hidup dalam keadaan mewah. Kassim Baba berasa ingin tahu lalu memujuk Ali Baba untuk memberitahunya bagaimana dia boleh jadi cepat kaya. Ali Baba terus memberitahu mengenai gua tersebut serta mentera untuk membuka gua itu, tetapi belum sempat dia memberitahu mentera penutup ataupun mengenai penyamun yang menggunakannya, Kassim Baba terus meluru untuk mencari gua tersebut.

Kassim Baba, dengan penuh rasa tamak, cuba mencuri kesemua yang ada di dalam gua penyamun tersebut. Dia tertangkap semasa para penyamun pulang semula ke gua sementara dia masih ada. Setelah beberapa cubaan untuk melengahkan mereka, ketua kumpulan penyamun tersebut membunuhnya. Memandangkan Kassim Baba masih belum pulang, Ali Baba pergi semula ke gua itu dan menemui mayat abangnya itu. Dia membawa pulang mayat itu dan menghantar mayat Kassim Baba untuk dijahit dengan mengupah 5 uncang wang emas kepada apek tukang jahit kasut (Leng Hussain) dan dikebumikan.

Ketua penyamun tersebut menyedari kekayaan Ali Baba dan menjadikannya sasaran untuk rompakan seterusnya. Ketua penyamun mengarahkan Sarjan (Ibrahim Pendek), dan Mamotaro San (A. Rahim), untuk mencari rumah hartawan Ali Baba. Mereka berjumpa dengan apek tukang jahit kasut dan tukang mandi jenazah (S. Kadarisman) untuk mendapatkan lokasi rumah Ali Baba. Setelah usaha anak buahnya dua kali digagalkan oleh Marjina (Sarimah) seorang hamba kepada Ali Baba, maka si ketua penyamun itu sendiri pergi ke rumah Ali Baba dan menyamar sebagai saudagar minyak, sementara anak-anak buahnya bersembunyi di dalam tong minyak yang disimpan di halaman rumah. Ketika Abu Hassan dan Ali Baba asyik berhibur, kesemua anak buahnya turut berhibur di halaman rumah. Marjina, menemui rancangan untuk menewaskan para penyamun itu, di mana mereka menjerang minyak sebenar yang panas mendidih terus dicurahkan ke dalam setiap tong minyak. Usaha tersebut dibantu oleh Aloyah (Normadiah), dan Norsiah. Setelah kesemua penyamun ditewaskan, Marjina sendiri menyerang dan membunuh ketua penyamun itu. Ali Baba yang terhutang budi kepada Marjina seterusnya membebaskannya.