Kerjaya Altimet

Muzik

Altimet (tiga dari kanan) ketika bersama Teh Tarik Crew pada awal kemunculannya.

Altimet memulakan kerjaya muzik dengan menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew yang ditubuhkan pada 1999. Ia turut disertai oleh Mizz Nina, DJ Fuzz dan Fiquetional.[9][10] Sepanjang bersama kumpulan ini, Altimet menerbitkan tiga album bersama TTC, Are We Rap Stars Now (1999), How's The Level? (2002) dan What's Next? (2004). Selepas kumpulan itu dibubarkan pada 2007, beliau memulakan kerjaya secara solo.[10]

Pada November 2013, Altimet bekerjasama dengan penyanyi Singapura, Awi Rafael menerusi lagu "Kalau Aku Kaya".[11]

Beliau merupakan pemenang trofi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 pada 11 Februari 2018.[12]

Beliau merancang untuk menamatkan kerjayanya sebagai seorang penyanyi pada hari lahirnya yang ke-40 pada 27 November 2018. Namun begitu, beliau masih tetap menulis lagu untuk penyanyi-penyanyi lain.[13] Konsert The Last Altimet Show yang ditunda sehingga Februari 2019 merupakan penampilan terakhirnya dalam dunia nyanyian.[7]

Perniagaan

Altimet mengusahakan jenama pakaian berkonsep Islam untuk orang lelaki dan kanak-kanak di bawah label "Benua Clothing" bersama seorang rakan kongsi yang juga kawan rapatnya, Mohd Nizar Manaf. Label ini mula beroperasi pada awal Mei 2014.[14] Selain itu, beliau turut menguruskan salah satu cawangan kedai gunting rambut Joe Flizzow.[13]

Beliau juga mengumumkan akan menubuhkan sebuah francais kedai gunting rambut dan melabur dalam syarikat piza dan aplikasi pembelajaran al-Quran, Recite.[7]

Penampilan lain

Altimet merupakan antara 120 selebriti popular tanah air yang menjayakan projek insiatif muzik di bawah kendalian Pete Teo, Malaysian Artistes For Unity (MAFU) yang bertujuan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan idea Bangsa Malaysia menerusi lagu dan video. Selebriti yang terlibat termasuk Afdlin Shauki, Awie, Ning Baizura, Jason Lo, Sharifah Amani, Adibah Noor, Maya Karin dan lain-lain.[15]

Beliau merupakan salah seorang dari 10 duta baharu 1M4U.[16] Altimet menjadi pelakon dalam filem Rentap sebagai penampilan khas dan menjadi pelakon utama dalam PU Wid di Astro Oasis dan Astro Maya HD.[9]

Selain itu, beliau juga muncul dalam pementasan teater Ola Bola The Musical, memegang watak sebagai Sarjan Ahmad.[17]