Penerbitan Anak_Jantan

Anak Jantan ditulis oleh Opie Harris dan diarahkan oleh Faizul A. Rashid yang sebelum ini mengarahkan filem Bisikan Syaitan (2013).[3]

Farid Kamil dan Bront Palarae yang sebelum ini bekerjasama dalam filem Anak Halal (2007) dan V3 Samseng Jalanan (2010) menjayakan watak utama dalam filem ini. Bagi menghidupkan peranan masing-masing, Bront dan Farid melakukan lagak ngeri sendiri, dengan sokongan pakar aksi lagak ngeri Thailand.[3] Beberapa adegan yang menggunakan dialog bahasa Siam oleh pelakon Thailand dan dialih suara ke Bahasa Melayu bagi memudahkan pemahaman penonton. Hampir 15 peratus penceritaan dalam Anak Jantan telah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).[3]

Faizul dalam temuramah bersama Sinar Harian berkata idea untuk menghasilkan filem ini sudah lama tercetus bersama penerbit, Abdul Latiff Mohaideen dan Penerbit Eksekutif, Tengku Iesta Tengku Alaudin. Beliau berkata: "Idea ini bermula apabila menceritakan detik debaran ketika anak saya, Arissa Aqila, hilang selama lima minit di pasaraya." Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur, Langkawi dan Thailand.[4] Faizul turut memberitahu bahawa jalan cerita filem tentang puak yang berselindung di sebalik agama dalam melakukan kekejaman tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kegiatan pengganas.[5]