Sejarah Anjing_tarikan_Chukotka

Lelaki Chukchi yang memberikan makanan kepada anjing tarikan Chukotka, 1901

Anjing tarikan Chukotka telah dikembangkan oleh orang Chukchi sebagai kaedah yang tahan lasak dan boleh dipercayai untuk memburu mamalia laut di atas air batu laut dan pengangkutan di tundra bergunung-ganang di Semenanjung Chukchi yang mempunyai cerun berangin yang menghalang penumpukan salji.[1] Bukti arkeologi sebelum tahun 500 Masihi menunjukkan bahawa penduduk tempatan sangat bergantung pada paus sebagai sumber makanan dan bahawa kereta luncur salji anjing ialah cara utama untuk mengangkut mamalia laut ke petempatan manusia.[3]

Ahli sukan dan pengarang M. G. Dmitrieva-Sulima memerihalkannya sebagai baka unik dalam buku beliau pada tahun 1911, Laika dan Perburuan Dengannya.[4]

Perpisahan dengan husky Siberia

Dari tahun 1890-an hingga 1930-an, anjing tarikan Chukotka dieksport secara aktif ke Alaska untuk mengangkut pelombong emas ke Yukon sebagai sebahagian daripada Kerubut Emas Klondike, kemudian untuk "All-Alaska Sweepstakes", iaitu perlumbaan kereta luncur salji anjing sejauh 408 batu (657 km) di Alaska.[5] Pada masa ini, "Esquimaux" atau "Eskimo" ialah istilah pejoratif lazim untuk penduduk asli Artik Amerika Utara, dengan banyak pilih atur dialek termasuk Uskee, Uskimay, dan Huskemaw. Oleh itu, anjing yang digunakan oleh orang Artik ialah "anjing [orang] Huskie" dan akhirnya hanya "anjing husky".[6][7] Peneroka Kanada dan Amerika, yang tidak mengarifi geografi Rusia, membezakan import Chukotka dengan merujuknya sebagai husky Siberia, kerana Chukotka ialah sebahagian daripada Siberia.[1]

Leonhard Seppala dengan anjing-anjing beliau

Pada tahun 1913, Leonhard Seppala mewarisi sepasukan anjing tarikan Chukotka secara kebetulan. Jafet Lindeberg, sahabat dan penyelia beliau dalam Pioneer Mining Company, telah membawa anak-anak anjing dari Siberia sebagai hadiah untuk penjelajah Roald Amundsen, yang diharapkan oleh beliau untuk menggunakan anjing-anjing itu untuk ekspedisi mendatang beliau ke Kutub Utara. Seppala ditugasi untuk melatih anjing-anjing itu. "Saya benar-benar jatuh cinta dengan mereka dari awal", beliau teringat; "Saya hampir tidak sabar untuk menunggu salji kereta luncur untuk memulakan pelatihan mereka". Apabila Amundsen membatalkan perjalanan beliau beberapa minggu selepas anak-anak anjing itu tiba di Nome, Lindeberg memberikan anjing-anjing itu kepada Seppala.[8] Dengan saiz lebih kecil, lebih kecepatan, dan lebih daya ketahanan berbanding dengan anjing pengangkut barang seberat 100–120 paun (45–54 kg), yang digunakan secara umum pada masa itu, husky Siberia segera mendominasi perlumbaan Sweepstakes.

Pada tahun 1930, Kesatuan Soviet menghentikan pengeksportan anjing dari Siberia dan American Kennel Club mengiktiraf husky Siberia sebagai baka. Anjing yang tinggal di Kesatuan Soviet pada masa itu kemudian terus kekal sebagai anjing tarikan Chukotka, manakala anjing yang tinggal di Amerika Syarikat dan di Kanada kemudian terus membentuk ternakan asasi bagi husky Siberia.[9][5]

Pada tahun 1950-an dan tahun 1960-an, penambahbaikan prasarana dan perjalanan berjentera sekali dengan larangan ke atas pemburuan ikan paus demi sara hidup mengakibatkan keruntuhan populasi anjing kereta luncur salji peribumi di Chukotka.[1][10] Populasi anjing kereta luncur salji terus berkurang sehingga tahun 1988 apabila tinjauan rantauan mendedahkan hanya 1594 ekor anjing, yang bukan kesemuanya merupakan baka tulen.[1] Ikutan keruntuhan Kesatuan Soviet, ketidakjaminan makanan meluas di Rusia sekali dengan keizinan khas untuk pemburuan ikan paus untuk orang asli Chukchi, telah menyumbang kepada kebangkitan minat untuk memulihara anjing tarikan Chukotka di Semenanjung Chukotka. Terdapat anggaran 4000 ekor anjing tarikan Chukotka kini, walaupun tiada kejelasan tentang angka anjing baka tulen.[1][11]

Rujukan

WikiPedia: Anjing_tarikan_Chukotka https://thefanhitch.org/V12N2/V12,N2Russia.html https://padsociety.org/wp-content/uploads/2018/06/... https://www.akc.org/dog-breeds/siberian-husky/ https://nunatsiaq.com/stories/article/The_Evolutio... http://archive.org/details/britishdogstheir00dalzr... http://archive.org/details/cruelestmiles00sali https://books.google.com/books?id=ZWLyAAAAQBAJ&pg=... https://www.nps.gov/people/lyudmila-bogoslovskaya.... https://iwc.int/russian-federation https://web.archive.org/web/20141028163832/http://...