Am Anugerah_Juara_Lagu_ke-25

Seperti biasa, 30 buah lagu yang meraih markah tertinggi dalam carta Muzik-Muzik 25 sepanjang tahun 2010 dilayakkan ke Separuh Akhir untuk dinilai semula untuk mencari 14 buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu. Inilah kali kedua lagu-lagu terlibat tidak dibahagikan kepada kategori setelah pengkategorian dimansuhkan pada musim 2009 gara-gara kelesuan kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.

Memandangkan ini merupakan kali ke-25 penganjuran AJL, TV3 menerbitkan rancangan khas yang bertajuk Revolusi Anugerah Juara Lagu 25 yang menyatukan semula para seniman yang lagunya pernah menjuarai AJL sepanjang sejarah penganjurannya, untuk berkongsi pengalaman dan rahsia kecemerlangan masing-masing. Rancangan istimewa ini terbahagi kepada empat bahagian yang disiarkan pada 4, 11, 18 Disember 2010, dan 1 Januari 2011.[2]

Seperti tahun sebelumnya juga, Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar menyandang semula tugas sebagai pengacara AJL25. AJL25 dipersembahkan dengan tema "Pemetaan Muzik", yang mana tempat acaranya berubah wajah dengan sebuah pentas gah yang julung kali menggunakan teknologi terkini yang dilengkapi dengan diod pemancar cahaya (LED) sebagai lambang penonjolan perkembangan industri muzik tempatan.[3] Pengkarya yang merangkul gelaran Juara Lagu 2010 menerima hadiah wang tunai sebanyak RM35,000; naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM15,000 dan RM12,000; dan pemenang anugerah khas Vokal dan Persembahan Terbaik masing-masing meraih RM10,000.[4]