Sambutan Anugerah_Juara_Lagu_ke-25

Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh AGB Nielsen, siaran langsung Anugerah Juara Lagu ke-25 berjaya meraih jumlah penontonan sebanyak 4.2 juta orang (21.4 TVR) atau 64% dari jam 9 hingga 12 malam, dengan puncak penontonannya menghampiri lima juta orang.[5] Malahan pula, dicatatkan bahawa sejumlah 83,764 pengguna unik telah menyaksikan pancaran video secara langsung di laman web rasmi AJL25, termasuklah acara karpet merah, babak sebalik tabir dan upacara itu sendiri; 20% daripadanya dijejaki datangnya dari pelayar web di luar negara.[5]

Akan tetapi, penobatan lagu "Tolong Ingatkan Aku" sebagai Juara Lagu menjadi titik tengah pertikaian yang hebat, dan boleh disifatkan sebagai satu kejutan hebat dalam sejarah penganjuran AJL kerana lagu berkenaan tidak dijangka sekali akan dinobatkan sebagai juara. Mengikut laporan, kemenangan Ana Raffali ini tidak disenangi sesetengah orang awam apabila sesetengah penonton di tempat acara mengebu beliau atau terus mengangkat kaki sebaik sahaja mendengari keputusannya diumumkan.[6] Apabila ditanya mengenai kontroversi ini, M. Nasir mempertahankan keputusan yang dibuat oleh pihak juri atas sebab bahawa "Tolong Ingatkan Aku" bersifat peribadi, ringkas dan ada rasa yang ingin disampaikan penggubah (yang juga si penyanyi lagu itu) sampai kepada para pendengar, justeru "lagu ini berjaya memikat hati juri kerana ia mempunyai elemen pembaharuan."[6] Tambahnya lagi, lagu itu mempunyai lirik yang penuh makna dan dihasilkan dengan penuh kejujuran. "Lirik dan melodinya amat ringkas, namun penuh kejujuran berbanding dari yang lain. Mungkin lagu ini tidak popular tetapi ia ada kekuatan yang melayakkannya untuk menang."[6]

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang ahli juri, Azmeer mengatakan bahawa dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu. “Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.[7] Seorang lagi ahli panel, Amy Search, menjelaskan bahawa dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal, tetapi dirinya turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu "Cinta Sempurna" diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.[7]