Jenis Asid_ribonukleik

RNA pengutus (messenger RNA, mRNA) membawa maklumat mengenai sesuatu turutan protein kepada ribosom yang merupakan kilang sintesis protein dalam sel. Helaian RNA ini dikodkan agar setiap nukleotidanya (satu kodon) mewakili satu asid amino. Dalam sel-sel eukariot sesebuah mRNA yang dibentuk awalnya (pra-mRNA) akan menjadi suatu mRNA yang matang apabila ia telah ditranskripsikan daripada DNAnya yang asal melalui pembuangan intron—bahagian pra-mRNA yang tidak boleh dikodkan. Bebenang mRNA ini kemudiannya dibawakan daripada nukleus kepada sitoplasma di mana ia tdiikat pada ribosom dan ditranslasikan menjadi bentuk proteinnya yang bersamaan dengan bantuan tRNA. Dalam sel-sel prokariot yang tiada nukleus dan sitoplasma pula, mRNA boleh mengikat pada ribosom ketika ia masih menjalani proses transkripsi daripada DNA. Setelah suatu tempoh masa yang tertentu, urutan ini terurai menjadi komponen nukleotidanya dengan bantuan ribonuklease.[8]

RNA penghantar (transfer RNA, tRNA) ialah satu rantaian RNA kecil terdiri daripada 80 nukleotida yang membawa satu asid amino tertentu kepada satu rantaian polipeptida uang memanjang pada tapak ribosom sintesis protein sewaktu proses translasi mRNA. Molekul ini mepunyai tapak menghubungkan asid amino serta suatu kawasan antikodon untuk pengenalpastian kodon yang mengikat kepada sesuatu turutan tertentu dalam rantaian mRNA melalui pengikatan hidrogen.[9]

RNA ribosom (ribosomal RNA, rRNA) merupakan komponen ribosom yang mempunyai kebolehan memangkin. Ribosom pada organisma eukariot mempunyai empat jenis molekul rRNA yang berbeza: 18S, 5.8S, 28S dan 5S. Tiga daripada molekul rRNA ini disintesiskan dalam nukleolus, manakala satu yang lain dihasilkan di tempat yang lain. Dalam sitoplasma, protein dan RNA ribosom bergabung membentuk sejenis nukleoprotein iaitu ribosom. Ribosom ini mengikat mRNA serta melakukan sintesis protein. Beberapa ribosom boleh dihubungkan kepada satu mRNA pada satu-satu masa.[8]