Sejarah Astro_Shaw

Astro Shaw

Ditubuhkan pada tahun 1996 di bawah jenama Astro Shaw, tumpuan awalnya adalah untuk menggiatkan industri filem tempatan melalui pengeluaran filem yang berkualiti tinggi serta penceritaan yang cemerlang. Astro Shaw menghasilkan filem pertamanya pada tahun 1988 bertajuk Nafas Cinta. Filem yang dibintangi oleh Awie itu menerima sambutan hangat semasa ditayangkan di pawagam. Nafas Cinta telah membuka peluang bagi Astro Shaw untuk mengembangkan usaha pengeluaran filem dan sejak tahun 2001, Astro Shaw telah mengeluarkan lebih 80 filem. Pada tahun 2010, Astro Shaw memperluaskan lagi jangkauannya dengan menghasilkan filem Bahasa Cina yang pertama bertajuk Woohoo. Semenjak itu, Astro Shaw telah menghasilkan 5 lagi filem bahasa Cina termasuk filem The Journey yang berjaya menggondol beberapa anugerah dalam festival filem tempatan.

Pada tahun 2014 pula, Maindhan menjadi filem Bahasa Tamil pertama yang dihasilkan oleh Astro Shaw. Bukan sahaja di Malaysia, malahan filem ini ditayangkan di pawagam negara Singapura dan Tamil Nadu. Ia mendapat pujian dari para pengkritik dan muncul sebagai filem Tamil tempatan yang mendapat kutipan box office tertinggi di Malaysia sebelum gelaran itu diambil alih oleh filem Vedigundu Pasangge pada tahun 2018 yang turut dihasilkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Veedu Productions Sdn Bhd.

Box Office

Sekitar tahun 2010 hingga 2013, filem yang menduduki carta sebagai filem tempatan yang mendapat kutipan paling tinggi di Malaysia hanya berkisar sekitar RM8 juta. Walaubagaimanapun, pada tahun 2014, Astro Shaw berjaya mencipta sejarah dan telah menaikkan tanda aras untuk filem-filem tempatan dengan melepasi aras kutipan RM15 juta melalui filem The Journey (RM17.28 juta). The Journey merupakan filem pertama dan satu-satunya filem tempatan berbahasa Cina yang berjaya mengungguli carta box office tempatan pada tahun ia ditayangkan. Ini merupakan satu prestasi yang masih belum dicapai oleh syarikat penghasilan filem lain di Malaysia.

Manakala pada tahun 2018, terdapat kenaikan besar dalam kutipan box office tempatan kepada sejumlah RM 170 Juta melalui kutipan daripada 49 buah filem yang ditayangkan. Astro Shaw menjadi peneraju utama yang menyumbang kepada peningkatan luar biasa ini dengan memegang sebanyak 60% saham pasaran filem tempatan. Astro Shaw sahaja mempunyai kumulatif kutipan box office yang mengagumkan melebihi RM 103 juta yang diperoleh melalui 4 filem blockbuster, antaranya Hantu Kak Limah (RM 38 Juta), Dukun (RM 12 Juta), Paskal (RM 30 Juta) dan Polis Evo 2 (RM 23 Juta).

Berikutan tahun yang bersejarah itu, Astro Shaw kini mendominasi industri filem Malaysia dengan menduduki 7 daripada 10 carta filem blockbuster yang mendapat kutipan paling tinggi sepanjang masa. Dengan kutipan sebanyak RM38 juta melalui Hantu Kak Limah, ia menjadi filem tempatan pertama yang mengatasi kutipan boxoffice di tanda aras RM30 juta sekaligus memecahkan rekod filem box office negara.

Pengiktirafan

KL Menjerit merupakan filem pertama dihasilkan oleh Astro Shaw yang memenangi anugerah pada tahun 2003. Filem ini memenangi 8 kategori untuk Festival Filem Malaysia ke-16 termasuk Filem Terbaik dan 2 lagi kategori di Anugerah Skrin TV3.

Berikutan kejayaan KL Menjerit, Astro Shaw telah memenangi lebih daripada 170 anugerah dari festival filem tempatan dan antarabangsa. Filem keluaran Astro Shaw, The Journey dan Ola Bola dipilih untuk bertanding dalam Festival Filem Far East.

Perlaburan Filem Antarabangsa

Pelaburan Astro Shaw dalam penghasilan filem antarabangsa telah mendapat pujian pelbagai pihak. Sebagai contoh, filem arahan pengarah daripada Thailand, Apichatpong Weerasethakul, Cemetery of Splendor, yang ditayangkan di Un Certain Regard, salah satu seksyen Festival Film Cannes 2015 telah berjaya memenangi Filem Terbaik di Pameran Filem Asia Pasifik ke-9. Selain itu, filem arahan Mouly Surya, pengarah daripada Indonesia yang bertajuk Marlina Si Pembunuh Dalam 4 Babak membuat debutnya di Director’s Fortnight Section di Cannes. Manakala, The White Girl, filem Hong Kong yang diarahkan oleh Christopher Doyle dan Jenny Suen merupakan percubaan pertama Astro Shaw untuk menapak di dalam industri perfileman Asia Utara, dan filem tersebut dipertandingkan dalam Festival Filem London pada tahun 2017.

Paling terbaru, filem Astro Shaw yang akan ditayangkan pada Januari 2020, The Garden of Evening Mists telah dicalonkan dalam 9 kategori untuk Anugerah Golden Horse ke-56.

Perkembangan Bisnes

Astro Shaw telah terlibat dalam industri perfileman bukan sekadar melalui penghasilan filem, malah ia juga merupakan rakan kongsi yang kukuh dalam pemasaran dan pengedaran filem di Malaysia mahupun antarabangsa. Sebagai contoh, filem animasi terbesar pada tahun 2019, BoBoiBoy Movie 2 merupakan filem yang dipasarkan serta diedarkan oleh Astro Shaw.

Dengan memanfaatkan perhubungan rakan kongsi serantau dan antarabangsa sedia ada, Astro Shaw sentiasa meneruskan usahanya untuk mencari pasaran baharu yang berpotensi untuk mengedarkan filem-filem tempatan selain membuka jalan buat filem antarabangsa untuk memasuki pasaran Malaysia.

Program Writers' Room

Astro Shaw memimpin barisan hadapan dalam mendandan penceritaan oleh bakat tempatan melalui formasi oleh pihak penulisnya sendiri yang diketuai oleh Anwari Ashraf. Matlamat ahli pasukan ini bertumpu kepada pembangunan cerita serta idea daripada kreativiti bakat tempatan dan pencarian untuk menghasilkan cerita yang menarik bukan sahaja sesuai untuk tontonan tempatan, malahan antarbangsa.