BS_1363
BS_1363

BS_1363

Piawaian British BS 1363 menetapkan jenis plag dan soket AC domestik yang digunakan di United Kingdom, Cyprus, Ireland, Malta, Malaysia, Singapura serta negara-negara bekas jajahan British. Ireland, Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai piawaian yang setara - IS 401 & 411, MS 589 dan SS 145. Di negara-negara tersebut, sistem ini turut dikenali sebagai soket/plag 13 amp. Di Malaysia, ia digunakan pada peralatan elektrik berkuasa sederhana dengan kadaran arus sehingga maksimum 13 ampere; walau bagaimanapun, bagi peralatan berkuasa rendah terutamanya peralatan audio visual seperti televisyen dan radio, plag 2 pin 2.5 ampere Jenis C (dikenali sebagai Europlug) lazimnya digunakan.Sebuah plag BS 1363 mempunyai dua pin segiempat sama yang melintang bagi penyambung fasa (selalunya dipanggil 'wayar hidup') serta neutral, dan di atas kedua-dua pin pula adalah pin segiempat tepat menegak untuk sambungan bumi.Tidak seperti kebanyakan soket lain, pin bumi adalah sangat penting pada plag BS 1363, memandangkan ia diperlukan bagi menolak penutup lubang soket untuk membolehkan pin hidup dan neutral dimasukkan. Ia juga turut memastikan plag berkenaan sentiasa dalam kekutuban yang betul. Untuk kegunaan peralatan elektrik yang tidak dibumikan, terdapat juga plag dengan pin bumi plastik bagi membolehkan penutup soket dibuka.Oleh kerana litar soket (terutamanya jenis litar gelang seperti yang sering digunakan di United Kingdom) mampu membawa arus tinggi sehingga melebihi keperluan peralatan elektrik, setiap plag dimestikan mempunyai fius (Piawaian BS 1362) dengan nilai sehingga 13 ampere. Plag dan soket BS 1363 direka untuk membawa voltan AC 240 V 50 Hz, dengan nilai maksimum arus elektrik 13 ampere.