Asal-usul BS_1363

Plag gaya sebegini mula muncul pada tahun 1946, sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Britain sebelum ini menggunakan kombinasi soket 5 dan 15 ampere di mana pendawaian bagi setiap soket disambung pada fius tersendiri. Akibat permintaan tinggi semasa zaman perang, Britain mengalami masalah kekurangan bekalan kuprum yang kronik. Tambahan pula, pihak musuh telah banyak memusnahkan gudang simpanan kuprum. Selepas perang, Britain perlu membina semula rumah-rumah bagi para penduduknya serta memasang sistem pendawaian dengan meminimumkan penggunaan kuprum sebaik mungkin.

Penyelesaiannya ialah sistem litar gelang di mana wayar dari unit pengagihan pengguna (fius / pemutus litar) disambung ke sebilangan soket dan disambung lagi ke fius atau pemutus litar yang sama. Ia memberikan penjimatan kuprum yang diperlukan untuk pendawaian. Oleh kerana fius atau pemutus litar biasanya memerlukan kadaran arus maksimum yang boleh diangkut (misalnya 26A, 30A atau 32A bagi pemutus litar), maka setiap plag diwajibkan untuk mempunyai fiusnya sendiri berkadaran dengan penggunaan arus peralatan elektrik berkenaan. Pada mulanya terdapat beberapa rekaan plag yang bersaing, tetapi akhirnya rekaan BS 1363 diterima mengatasi semua rekaan lain.

Walaupun keperluan untuk menjimatkan penggunaan kuprum sudah lama berlalu, sistem litar gelang terbukti berjaya sehinggakan Britain mengekalkan sistem ini sehinggalah sekarang.

Asalnya terdapat fius berkadaran 1, 2, 3, 5, 7, 10 dan 13 ampere tetapi menjelang tahun 1960an ia dikurangkan kepada pilihan 2, 5, 10 dan 13 ampere. Plag yang dibekalkan lazimnya dipasang dengan fius 13A, dan kebanyakan pengguna rumah cenderung untuk tidak menukarkannya dengan nilai yang sepatutnya. Kemudiannya barisan pilihan dikurangkan kepada hanya 3 dan 13 ampere sahaja. Walau bagaimanapun, di Malaysia hanya nilai fius 13A sahaja yang boleh didapati.