Sejarah Bahasa_Suluk

Mengikut sejarah, bahasa asal Tausug atau Suluk sebenarnya adalah dari bahasa asal Orang Tagimaha (Taguima dari Basilan). [perlu rujukan] Tetapi ada lagenda [nyatakan menurut siapa?] yang mengatakan, suku Suluk ini merupakan suku Kadazandusun yang hanyut ke laut melalui sungai sugut kerana telah melanggar pantang larang dan tidak dapat kembali ke tempat asal. [perlu rujukan] Suku yang hanyut ini kemudiannya mengalami perubahan dalam bahasa pertuturan mereka kerana banyak bercampur dengan orang laut, namun sebahagian besar perkataan Kadazandusun masih digunakan. Tetapi lagenda itu tidak berasas kerana tamadun Suluk sudah mula dimasuki golongan Islam sejak kurun ke-14. Tamadun Suluk juga sudah diketahui seawal kurun ke-8, sezaman dengan Tamadun Srivijaya. Sebelum memeluk Islam, masyarakat Suluk dipercayai menganut agama tauhid Nabi Ibrahim.[perlu rujukan] Manakala bagi Kadazandusun, tiada catatan daripada tamadun mereka. Kadazandusun hanya mula diketahui sekitar kurun ke 20.[perlu rujukan] Berdasarkan fakta tersebut, lagenda itu adalah tidak berasas.

Bahasa Tausug adalah bahasa perantara atau lingua franca sebelum era kesultanannya lagi hingga kini. Etnik Suluk berasal dari rumpun Melayu-Austronesia (Polenesia) sebagai mana masyarakat Nusantara di sekitarnya. Etnik Suluk juga merupakan diantara penduduk Peribumi atau Bumiputera Sabah. Bahasa Sug yang mereka tutur adalah mirip Bahasa Melayu lama bercampur Bahasa Arab dan bahasa etnik lain di sekitar Sulu dan Mindanao.

Suku kaum Suluk atau Tausug juga punya beberapa dialek atau slanga mengikut kawasan atau daerah di antaranya ialah slanga Tausug Tapul, Tausug Basilan, Tausug Lugus, Gimbahanun, Luwuk dan lain-lain. Unsur-unsur bahasa Jawa juga ada terdapat dalam bahasa Sug ini tidaklah menghairankan kerana rumpun Melayu di rantau Nusantara ini antara satu sama lain ada similaritinya.

Ini disebabkan kekuasaan kerajaan Srivijaya dan Majapahit di tanah Jawa pernah mempengaruhi daerah-daerah sekitar wilayah Kepulauan Sulu sebagaimana sebelum kemunculan kerajaan awal Melayu Melaka. Manakala dalam catatan Nagarakretagama Majapahit, kepulauan Sulu dipanggil "Solot". Kepulauan Sulu juga dinamakan "Banjar Kulan" (Little Banjar) oleh orang Kalimantan kerana memiliki hubungan sejarah lama dengan Banjarmasin. Maka setelah kedatangan Islam muncullah Kesultanan Sulu sekitar tahun 1457 M dan pemerintahan Sultan-Sultan Sulu berlangsung begitu lama yang menyumbang kepada Bahasa Sug terus bertahan hingga hari ini.

Semasa kegemilangan pentadbiran Kesultanan Sulu dahulu Bahasa Suluk adalah Lingua-Franca di wilayah kesultanannya yang merangkumi Jolo, Tawi-Tawi, Basilan-Zamboanga, Palawan dan North Borneo (Sabah).