Sejarah Bandar_Taiping

Taiping bermaksud "Aman" atau "Damai" atau maksud penuhnya "Keamanan yang abadi" dalam bahasa Cina. Tercetus dari pertelingkahan puak-puak kongsi gelap pendatang Cina[6] yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San, yang begitu ramai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, Taiping telah dipilih sebagai nama baru bagi bandar di daerah Larut.

  • 1880-an bandar Taiping telah dibangunkan oleh penjajah Inggeris kerana daerah ini kaya dengan sumber hasil bijih timahnya di sekitar Sungai Larut. Sebelum kedatangan British, daerah ini (pada masa dahulunya dikenali sebagai Jajahan Larut) telah ditadbir oleh Menteri Larut iaitu Dato' Long Jaafar yang telah diberi kuasa oleh Sultan Perak pada ketika dulu untuk mentadbir jajahan ini. Long Jaafar telah membina pusat pentadbirannya di Bukit Gantang dan menjadikan Kuala Sungai Limau di Trong sebagai pelabuhan utama Jajahan Larut.

Binaan dan Kemudahan

Taiping mempunyai hasil binaan dan kemudahan pertama di Malaysia. Malah, bandar ini sering diberi jolokan "yang pertama" di sidang penulisan bercetak [7]mahupun elektronik [8]. Diantara hasil binaan dan kemudahan yang pertama dibangunkan di Malaysia ialah:

  • Bangunan Telegraf di bandar ini dibina pada 1876 dengan satu talian telegraf sepanjang 43.2 km telah dipasang merentangi hutan dari kediaman Residen British di Kuala Kangsar sehingga bangunan pejabat pembantu Residen di Taiping. [9]
  • Bukit Larut atau Maxwell Hill, dibuka oleh Pembantu Residen British ketika itu, William Edward Maxwell pada tahun 1884 dan kawasan ini merupakan stesen perhentian di kawasan tinggi tertua di Malaysia. [10]
  • Hospital Taiping, dikenali sebelum sebagai Hospital Yeng Wah, terletak di Jalan Taming Sari, dibina pada tahun 1880. Hospital yang diiktiraf sebagai yang tertua di Malaysia mencatat sejarah kerana menjadi hospital pertama dilengkapi dengan kemudahan x-ray selepas beberapa bulan diperkenalkan kepada umum oleh penciptanya Prof. W.C Roentgen. [11]
  • Landasan kereta api yang menghubungkan diantara Taiping dengan Pelabuhan Kuala Sepetang (Port Weld) bermula dari tahun 1882 dan siap didalam tahun 1885, dengan nilai kos sebanyak ₤7000, yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak ketika itu. Landasan keretapi pertama ini dirasmikan oleh Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low. Tujuan pembinaan adalah sebagai kemudahan pengangkutan tenaga buruh lombong bijih timah dan sebagai medium pengangkutan untuk pengeluaran bijih timah dari Taiping untuk dieksport. [12]
  • Muzium Perak
  • Penjara Taiping atau pada awalnya dikenali sebagai "Taiping Gaol" dibina pada 1879.[13]
  • Sekolah King Edward VII merupakan sekolah Bahasa Inggeris pertama dibangunkan pada tahun 1883.
  • Taman Tasik Taiping
  • Zoo Taiping

Pulau Kelumpang

Pada 1987, Pulau Kelumpang diisytiharkan kawasan bersejarah kerana terdapat artifak 1000 tahun. Artifak ini hasil ekskavasi Jabatan Muzium dan Arkib Negara. Pelbagai artifak purba ditemui. Antaranya tengkorak manusia, rangka manusia, kubur, periuk belanga, manik hiasan dan sebagainya. Semua bahan ini dipamerkan di Muzium Arkeologi Lenggong.

Kesan-kesan arkeologi Melayu Proto telah dijumpai di Kompartmen 11 seluas 10.3 hektar di Pulau Kelumpang dan mempunyai 5 buah pulau kecil seluas lebih kurang antara 1 hektar hingga 3 hektar. Tapak ini sungguh istimewa kerana merupakan satu-satunya tapak arkeologi Hutan Paya Laut yang wujud di Asia Tenggara.

Rujukan

WikiPedia: Bandar_Taiping http://muaturunsini.blogspot.com/2010/02/kereta-ap... http://uthayasb.blogspot.com/2010/10/pertama-di-ta... http://www.dromoz.com/directory/maps/?epid=18588 http://mptaiping.com/taipingdetail/taiping_detail.... http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=01... http://www.e-solat.gov.my/MainWS.php http://www.moh.gov.my/v/latar_belakang http://www.mptaiping.gov.my/ http://www.mptaiping.gov.my/ms/mpp/pengurusan/prof... http://pdttaiping.perak.gov.my/bm/index.php?bhg=ad...