Sejarah Barisan_Jemaah_Islamiah_Se-Malaysia

Sebelum Penubuhan ː Pengekalan Kuasa UMNO di Kelantan

Pelantikan Datuk Mohd Asri Muda sebagai Menteri dalam Kabinet Persekutuan semasa kerajaan campuran yang sebelumnya menjadi sumber kekuatan PAS Kelantan memberikan kelebihan kepada UMNO untuk memperkukuhkan kedudukan parti tersebut dalam proses politik Kelantan. UMNO Kelantan menyedari parti tersebut berada di pihak yang lemah sekiranya PAS terus diberi peluang menerajui kerajaan negeri. Menyedari hakikat tersebut, UMNO tidak mempunyai pilihan lain kecuali melakukan sesuatu tindakan yang boleh memberi keuntungan kepada UMNO tanpa mengubah struktur yang sedia ada. [1]

Pada PRU-4 (1974), UMNO diperuntukkan sebanyak 13 kerusi, manakala PAS diberikan sebanyak 22 kerusi. Oleh itu, bagi memastikan UMNO mempunyai suara yang kuat dalam Kerajaan BN di negeri Kelantan, UMNO tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan Menteri Besar dari kalangan ahli PAS yang bakal dilantik itu boleh bekerjasama dengan parti tersebut. Bahkan, keadaan akan menjadi lebih baik lagi sekiranya Menteri Besar itu berada di bawah pengaruh UMNO. Jika ini berlaku, tindakan UMNO untuk melaksanakan agenda pambangunan di Kelantan akan menjadi lebih mudah, sekaligus dapat meningkatkan sokongan orang Melayu kepada parti berkenaan. [2]

Berasaskan kepada perkiraan tersebut, UMNO Kelantan melalui Tengku Razaleigh yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Istana Kelantan telah mendekati dan melobi pihak Istana terlebih dahulu, sebelum pihak PAS mengemukakan calonnya kepada Sultan untuk diperkenankan. Memandangkan kuasa melantik Menteri Besar adalah merupakan kuasa Perdana Menteri, UMNO mengemukakan nama Muhammad Nasir sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baru.[2]

Sebelum Penubuhan ː PAS Berpecah Kepada Dua Pihak

Sebelum PRU-4 (1974), Muhammad Nasir merupakan Timbalan Menteri Besar. Mengenai pencalonan Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar, Sultan juga turut dimaklumkan bahawa Tun Razak merestui pemilihan tersebut. Akibatnya, PAS melalui Asri Muda terpaksa bersetuju dengan cadangan UMNO bagi menjaga hubungan baik dengan Tun Razak dan turut didorong oleh hasrat ingin melihat perpaduan UMNO dan PAS terus berkekalan dalam BN. Tambahan pula, Muhammad Nasir juga merupakan ahli PAS walaupun Asri Muda terpaksa berpuas hati dengan pelantikan calon pilihannya iaitu Wan Ismail Wan Ibrahim sebagai Timbalan Menteri Besar. [2][3]

Situasi berkenaan menjadi kemelut yang akhirnya telah menggugat perpaduan dalam PAS iaitu wujud satu pihak yang menyokong Asri Muda dan satu pihak lagi menyokong Muhammad Nasir. Tambahan pula, tindak tanduk Muhammad Nasir sebagai Menteri Besar dalam urusan politik dan pentadbiran negeri memberikan lebih banyak keuntungan kepada UMNO berbanding PAS. Berikutan itu, PAS Kelantan memaksa Muhammad Nasir meletak jawatan melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri pada 15 dan 16 Oktober 1977. Akibatnya, kedudukan BN tergugat setelah pihak UMNO menentang tindakan itu.[4]

Penubuhan BERJASA

Selepas dipecat daripada PAS[5], Muhammad Nasir mengadakan mesyuarat bersama-sama pengikutnya dalam usaha menubuhkan parti baharu. Muhammad Nasir kemudiannya menubuhkan BERJASA pada Disember 1977 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS setelah parti itu meninggalkan BN. BERJASA kemudiannya mengadakan kerjasama politik dengan UMNO bagi mengharungi PRU-5 (1978), terutamanya bertujuan untuk menentang PAS, khususnya di Kelantan. BERJASA diterima menyertai BN pada 17 Mei 1980. UMNO dan BERJASA bekerjasama erat untuk menjatuhkan PAS. Pembahagian kerusi DUN dan parlimen antara UMNO dan BERJASA dibuat dengan UMNO berjaya mendapat lebihan kerusi berbanding BERJASA. UMNO sebagai parti induk meletakkan lebih ramai calonnya dalam Pilihan Raya Negeri 1978. Faktor kekalahan PAS kepada UMNO di Kelantan pada pilihan raya tersebut adalah disumbangkan oleh kewujudan BERJASA yang menyokong UMNO dalam pilihan raya itu.[6]

Kepimpinan Pertama

JAWATANNAMA PENUH
Yang DipertuaDato' Biji Sura Muhamed bin Nasir
Timbalan Yang DipertuaUstaz Ali Taib
Naib DipertuaDato' Hassan Adli Mohd Arshad
Naib Yang DipertuaUstaz Abu Bakar Hamzah
Ketua UlamakDato' Haji Muhammad Che Wok
Ketua MuslimatUstazah Fatimah Az-Zahra
Ketua PemudaDato' Ibrahim Ali
Setiausaha AgungProfesor Emeritus Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
BendahariDato' Wan Hashim Wan Ahmad

Rujukan

WikiPedia: Barisan_Jemaah_Islamiah_Se-Malaysia http://www.astroawani.com/berita-politik/pas-berja... http://www.sinarharian.com.my/politik/isma-tanding... http://www.ismaweb.net/v4/2013/05/keputusan-pru13-... http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/... https://www.facebook.com/Parti-Berjasa-37214291614... https://www.malaysiakini.com/news/409580 https://www.thestartv.com/v/barisan-jemaah-islamia... https://twitter.com/PartiBerjasa https://www.bharian.com.my/node/5160 https://berjasa.org.my/