Bawean

Koordinat: 5°46′S 112°40′E / 5.767°S 112.667°E / -5.767; 112.667Masyarakat Melayu Melaka dan Malaysia lebih mengenali Boyan dari Bawean dan pada pandangan mereka orang-orang Boyan merupakan mereka yang rajin bekerja dan sanggup membuat kerja kasar seperti pemandu kereta atau tukang kebun (kephun dalam bahasa Bawean).Orang-orang Bawean merupakan satu kelompok kecil sebahagian dari masyarakat Melayu yang berasal dari Pulau Bawean yang terletak di Laut Jawa antara dua pulau yang besar iaitu Pulau Borneo di utara dan Pulau Jawa di selatan. Orang Bawean dan orang Melayu adalah berasal dari satu rumpun yang sama iaitu rumpun Melayu dan tidak terdapat perbezaan yang ketara antara orang Melayu dengan orang Bawean kerana tidak ada perbezaan warna kulit, mempunyai persamaan agama iaitu agama Islam dan kerana asimilasi mereka dengan masyarakat Melayu.Sukar bagi menentukan tarikh yang tepat kedatangan orang-orang Bawean ke Melaka kerana tidak ada bukti dan dokumentasi sejarah mengenai kedatangan mereka. Kedatangan mereka tidak dicatatkan oleh mereka sendiri dan oleh tokoh-tokoh sejarah. Bermacam-macam pendapat telah diberikan namun untuk mencari tarikh yang tepat tidak dapat dibuktikan. Pendapat pertama mengatakan bahawa ada orang yang bernama Tok Ayar telah datang ke Melaka pada tahun 1819 dan pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa tahun 1824 dapat dikira sebagai satu tarikh sudah adanya orang Bawean di Melaka iaitu sewaktu penjajahan Inggeris di Melaka. Pendapat yang ketiga pula mengatakan sudah ada orang Bawean di Melaka sebelum tahun 1900 dan pada tahun itu sudah ramai orang Bawean di Melaka. Tarikh ini dirasakan lebih selamat dari tarikh yang disebutkan di atas.Pertempatan masyarakat Bawean adalah di kawasan bandar dan kawasan yang berhampiran dengan bandar seperti di Kampung Mata Kuching, Klebang Besar, Limbongan, Tengkera dan kawasan sekitar Hospital Besar Melaka. Jarang terdapat orang Bawean yang tinggal di kawasan-kawasan yang terlalu jauh dari bandar dan jumlah orang Bawean yang terdapat di Melaka dianggarkan tidak melebihi seribu orang.Terdapat persamaan perlakuan antara orang Bawean dengan orang Melayu terutama dari aspek agama dan pengalaman magis sebagai salah satu daripada unsur kebudayaan mereka. Orang Melayu mengamalkan ilmu-ilmu magis yang dimanifestasikan oleh pawang, bomoh dan dukun. Begitu juga penggunaan ubat guna-guna. Persamaan latarbelakang budaya menyebabkan mereka mudah menyesuaikan diri dengan cara hidup orang-orang Melayu apabila mereka merantau ke Semenanjung Malaysia.