Sejarah Bendera_Malaysia

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.[4]

  • Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pertama.
  • Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) kedua.
  • Cadangan bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ketiga.

Pendapat umum diambil kira

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamed bin Hamzah.

Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.

Reka bentuk terakhir dipilih

Setelah diubahsuai beberapa kali, rekabentuk tersebut telah teliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Reka bentuk diluluskan

Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) versi terubahsuai selepas perubahan pada masukan kanton biru dan jalur berwarna merah putih.Bendera Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1950 hingga 1963 yang telah diluluskan untuk kegunaan

Reka bentuk bendera terubah suai baru telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Ilham

Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris selepas tahun 1707

Bendera rekaan ketiga terubahsuai ini telah terinspirasi penuh daripada bendera rasmi Syarikat Hindia Timur Inggeris, ini boleh dibuktikan dengan sebahagian besar elemen utamanya yang disusun pada lunas yang sama khususnya pada jalur merah putih dan kotak berwarna biru disisi sebelah kiri atas bendera [5][6].

Apabila bendera rekaan baru itu telah diteliti pada setiap bahagian kemasan reka bentuknya, setiap satunya membawa definisi yang signifikan seperti berikut:[7]

  • merah, putih dan biru – membawa maksud Malaysia (sebagai sebuah negara baru yang hendak ditubuhkan) telah mempunyai perikatan wangsa diantara Negara-negara Komanwel.
  • lambang bulan sabit dan bintang pecah – membawa signifikan agama Islam sebagai agama Persekutuan, warna kuning sebagai simbol kedaulatan Raja-raja Melayu. Bintang pecah sebelas pula membawa maksud "perpaduan dan kerjasama" diantara kesemua negeri-negeri anggota dalam Persekutuan. Lambang bulan sabit dan bintang pecah menjadi asas perbezaan ketara berbanding bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris yang menggunakan lambang salib dalam benderanya.

Pembentukan Malaysia

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Singapura berpisah

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)

Rujukan

WikiPedia: Bendera_Malaysia http://mygov.malaysia.gov.my/EN/Main/MsianGov/Msia... http://www.melaka.gov.my/bm/agama-rasmi.html http://pmr.penerangan.gov.my/page.cfm?name=Bendera... http://www.penerangan.gov.my/dmdocuments/bendera_k... http://www.rtm.net.my/radio/html_bi/patriotic.html http://malaysiadesignarchive.org/documents/The%20H... http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/... https://www.americanflags.com/blog/post/flags-arou... https://www.joaoleitao.com/geography/flags-asia/ https://taraknamav2.wordpress.com/2007/08/19/mengh...