Kerjaya Bienda

Bienda memulakan kerjaya nyanyiannya ketika berumur 12 tahun dengan menganggotai sebuah kumpulan nasyid wanita di Malaysia iaitu Solehah selama 5 tahun bermula dari tahun 1998 hingga 2002. Pada tahun berikutnya, beliau telah mengambil keputusan untuk keluar daripada Solehah dan mula bergerak secara solo. Semasa kemunculan awal Bienda sebagai artis solo, terdapat segelintir pihak yang asyik membuat persamaan antara diri beliau dengan penyanyi popular pada ketika itu iaitu Waheeda dek kerana memperjuangkan irama muzik yang serupa.[2]

Pada tahun 2004, Bienda buat julung kalinya muncul dengan album studio pertamanya iaitu Unik menerusi label A.O.E Records. Selain itu menerusi album tersebut, beliau telah melancarkan empat buah single iaitu Penantian yang berjaya mengangkat namanya sebagai seorang penyanyi diikuti pula dengan Isti'dad, Dikir Rindu (duet bersama Eddie Hamid) dan Ilusi Maya. Rentetan daripada detik-detik arus populariti yang dicapainya itu, Bienda telah berjaya menjejakkan kaki ke Separuh Akhir Muzik Muzik 19 menerusi lagu Ilusi Maya. Dalam tahun yang sama juga, beliau mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dan sehingga kini, beliau masih lagi aktif berlakon di samping menerima undangan untuk membuat persembahan pentas di seluruh negara. Pada tahun 2005, Bienda telah mendapat pencalonan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 bagi kategori Artis Baru Wanita Popular. Kemudian pada tahun 2006, beliau telah bekerjasama dengan penyanyi rock legenda negara iaitu Amy Search bagi lagu Syurga Dan Neraka yang dimuatkan dalam album studio penyanyi rock itu yang berjudul Ikon: A Rockstar Chronnicle. Selain itu, Bienda juga turut terlibat sebagai rakan duet kepada penyanyi Akbar Azmi dalam single saduran iaitu Youm Wara Youm.

Pada tahun 2009, selepas enam tahun tanpa sebarang album, Bienda telah muncul dengan album studio keduanya iaitu Kenaliku menerusi syarikat rakamannya sendiri, Impiana Entertainment. Menerusi album tersebut, beliau telah melancarkan tiga buah single iaitu Kenaliku (tajuk yang sama seperti album), Usah Kau Tanya (duet bersama Sheeda dan Jiwa Sengsara (duet bersama Yasin Sulaiman. Tambahan pula, album ini juga turut memuatkan tiga buah single yang berjaya menaikkan nama Bienda iaitu Penantian, Youm Wara Youm (duet bersama Akbar Azmi) dan Syurga & Neraka (duet bersama Amy Search) serta beliau berpeluang merakamkan semula lagu Mimpi Laila (nyanyian asal Yasin Sulaiman) yang diberi nafas baru untuk dimuatkan dalam album ini. Menariknya juga tentang album ini, Bienda buat julung kalinya telah bertindak sebagai penerbit eksekutif sepenuhnya bagi menyiapkan album berirama padang pasir ini.[3] Tidak lama selepas itu, Bienda menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan berniaga tudung dan melancarkan koleksi tudung yang diberi nama BL By Bienda Lavienda.[4] Pada tahun 2010, Bienda telah bekerjasama dengan Kumpulan Boonyi lalu menghasilkan sebuah single yang bertajuk Gurindam Jiwa. Pada tahun 2011, beliau mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan TV dan penyampai radio. Bienda memulakan langkahnya sebagai pengacara TV dalam rancangan bual bicara Nasi Lemak Kopi O terbitan TV9 (Malaysia) dan sebagai penyampai radio pula di konti KL FM bergandingan dengan dua orang penyampai radio lelaki stesen radio tersebut bagi mengendalikan segmen Rentak Pagi KL.

Pada tahun 2013 pula, Bienda telah mengeluarkan single yang bertajuk Permata yang dicipta oleh Edry Abdul Halim.[5] Pada tahun 2016, stesen radio Manis FM yang bersiaran di Terengganu memilih Bienda untuk menjadi salah seorang penyampai radio di situ. Menurutnya, bekerja di luar negeri sememangnya merupakan satu pengorbanan yang besar kerana terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak. Pada mulanya Bienda enggan untuk menerima tawaran ini namun atas pujukan suami, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk terima 'cabaran' itu.[6][7] Tidak lama selepas itu, Bienda telah memuat naik kenyataan di laman sosial Instagramnya yang menyatakan bahawa beliau akan muncul dengan single terbaru yang bertajuk Jaga Hati hasil kerjasama bersama penyanyi hip hop dan penggubah lagu terkenal, DJ Fuzz. Pada 27 Mac 2017, satu sidang media diadakan oleh pihak Astro bagi sebuah rancangan pertandingan nyanyian realiti iaitu Gema Gegar Vaganza (GGV) dan Bienda telah terpilih secara rasmi untuk bertanding dalam program tersebut. Disebalik keterujaan beliau untuk bertanding dalam GGV, Bienda akui sebenarnya beliau gementar kerana sudah lama tidak muncul di kaca TV sebagai penyanyi bahkan membuat persembahan berskala besar walaupun persembahan yang dilakukan hanya berformat pertandingan sahaja. [8] Namun "gema" beliau dalam pertandingan tersebut terhenti di Minggu Kedua Konsert GGV. Walaupun tersingkir di minggu kedua, Bienda berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan semasa malam konsert itu dan menyifatkan penyingkirannya sebagai tiada rezeki untuk meneruskan perjuangan dalam rancangan nyanyian realiti TV tersebut.[9]

Pada 16 Julai 2017, Bienda telah mengadakan persembahan di kafe bertaraf eksklusif milik penyanyi berkumpulan nasyid Rabbani iaitu Rabbani Lamb House.[10][11] Menurut salah seorang anggota Rabbani iaitu Azadan, Bienda merupakan penyanyi wanita pertama yang membuat persembahan di situ. Pada 8 Disember 2017, beliau telah melancarkan sepenuhnya "single" terbarunya iaitu Jaga Hati dan lagu tersebut boleh didapati diaplikasi muzik iTunes, Deezer, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox. Pada 12 April 2018, Bienda telah melancarkan klip video muzik single terbarunya Jaga Hati bertempat di Bora Ombak, Putrajaya malahan pada malam itu juga beliau telah dilantik sebagai duta pakaian jenama Carrisa untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2018. [12]

Rujukan

WikiPedia: Bienda http://www.budiey.com/bienda-penyampai-radio-manis... http://www.astrogempak.com.my/artikel/5722/rabbani... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&d... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/bienda-belum... http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/biend... http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/biend... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt... http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/bienda-...