Sejarah Bomba

Lori bomba lama di Samocice - Poland.

Jabatan bomba terawal ditubuhkan semasa zaman Rom Purba oleh Egnatius Rufus yang menggunakan hamba abdinya untuk menyediakan perkhidmatan bomba percuma.[3] Mereka menentang kebakaran dengan menggunakan timba berantai serta meronda jalan-jalan dengan kuasa menghukum sesiapa yang melanggar peraturan pencegahan kebakaran.

Jabatan bomba kemudian ditubuhkan oleh syarikat insurans pada abad ke-18 dan 19. Pada tahun 1736, Benjamin Franklin telah menubuhkan syarikat insurans kebakaran pertama bernama Union Volunteer Fire Company di Philadelphia.[4]Bandar raya Boston menubuhkan jabatan bomba pertama yang dibiayai orang awam di Amerika pada tahun 1679.[5]

Pada lewat abad ke-19, permintaan terhadap pemerintahan berpusat terhadap syarikat bomba swasta muncul berikutan tindakan syarikat bomba berkenaan kerana syarikat bomba tersebut ada kalanya enggan memadamkan kebakaran di bangunan yang tidak memiliki insurans kebakaran. Harta yang diinsuranskan biasanyanya mempunyai plak yang menandakan syarikat insurans masing-masing. Tindakan tersebut menyebabkan sebahagian bandar raya musnah teruk serta banyak nyawa yang terkorban. Bandar-bandar raya mula menubuhkan jabatan bomba sendiri sebagai satu bentuk perkhidmatan awam, sekaligus memaksa syarikat bomba swasta ditutup.