Sinopsis Chinta_(drama)

Drama Chinta mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis malang bernama Chinta (Fasha Sandha) yang pada awalnya adalah gadis yang baik akhirnya terjebak di dalam kancah pelacuran akibat pelbagai nasib malang yang dialamainya. Chinta dinodai buat kali pertama oleh Haji Karim (Abu Bakar Juah) angkara perbuatan abangnya, Kamal (Azhar Sulaiman) dan kawan baiknya, Mustika (Zarynn Min). Fakri (Ezany Nizariff) yang gagal mengawal panas barannya merogol Chinta yang menyebabkan dirinya dipenjara selepas itu. Kamal kemudiannya terbunuh akibat ditembak oleh Haji Karim manakala Mustika pula mati akibat dilanggar lori setelah perbuatan jahatnya terbongkar. Kerana merasakan dirinya sentiasa dirundung malang, Chinta menjadi tidak percaya dengan adanya Tuhan dan amat membenci lelaki. Pada masa yang sama, dia juga nekad untuk lari dari rumah yang dianggapnya sebagai neraka.

Di Kuala Lumpur, Chinta bertemu dengan Rudy (Amir Pearl) yang memintanya hadir ke temuduga untuk mencari model yang menyebabkannya menukar nama kepada Chinta Chanduri. Pada mulanya dia tidak berjaya dalam temuduga tersebut akibat sikap berat sebelah Mayang (Natasha Hudson), tetapi pertemuannya dengan Eddie (Zain Saidin) yang juga adik Mayang ternyata telah mengubah nasibnya. Chinta akhirnya berdiri sebagai peragawati jelita, seksi dan menarik hingga menyebabkan banyak pihak datang mendekatinya. Namun, kecantikan dan personalitinya yang penuh dengan dendam itu telah menyebabkan wanita lain menjadi kurang senang terhadapnya terutamanya Mayang.

Di sebalik kerjayanya, Chinta menyimpan rahsia yang sebenarnya dia pelacur kelas elit. Namun Chinta kekal dengan misinya bagi melangsaikan rasa dendam di hati yang kian menebal. Namun, amarahnya yang menyala telah menyebabkan satu persatu lelaki mati dalam keadaan yang sangat tragis. Eddie mati akibat kemalangan, Rudy terbunuh akibat disambar petir sementara Malik (Manan Sulaiman) pula membunuh diri di pejabatnya.

Setelah bebas dari cengkaman Mayang, Chinta telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Chinta Holdings dengan bantuan Tuan Osman Kabilah (Datuk Rahim Razali), seorang jutawan terkenal. Melalui Tuan Osman, Chinta telah berkenalan dengan seorang bodyguard bernama Amar (Adi Putra) yang baru sahaja bekerja bersama Ghani (Rahim Omar). Amar dirasakan bukan seperti lelaki lain yang hanya menggunakan Chinta untuk melampiaskan nafsu mereka dan dalam diam, Chinta mula menyayangi lelaki itu biarpun dirinya tidak semulia perempuan lain. Namun, kehidupannya diuji sekali lagi apabila Fakri memperkosanya buat kali kedua yang akhirnya menyebabkan dirinya hamil. Amar yang cuba menyelamatkan Chinta kemudiannya koma akibat ditembak oleh Fakri. Semasa Chinta hendak bertunang dengan Tuan Osman, Tuan Osman akhirnya memutuskan untuk menyatukan Chinta dan Amar setelah dia menyedari bahawa mereka berdua saling mencintai antara satu sama lain. Malangnya, Amar ditimpa kemalangan dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke majlis pernikahan mereka. Beberapa bulan selepas itu, Chinta kemudiannya melahirkan anak perempuan yang kemudiannya diserahkan kepada Tuan Osman setelah Chinta enggan menerima dan menjaga anaknya itu.

5 tahun berlalu, Chinta nekad untuk meneruskan kehidupannya sebagai kupu-kupu malam. Suatu hari, Chinta mendapat berita Tuan Osman jatuh sakit setelah didatangi oleh Ghani, bekas pengawal peribadinya dahulu. Keadaan Tuan Osman yang agak tenat menyebabkan mereka memanggil ustaz untuk meringankan kesakitan yang dialaminya, seterusnya meninggal dunia di hadapan mereka. Akibat satu insiden yang menyebabkan dirinya ditangkap khalwat bersama Farhan (Irfan Roslan) akibat perbuatan Datin Maimon (Rosnah Johari), Chinta terpaksa mendapatkan khidmat seorang peguam syariah yang bernama Rasul Iman (Adi Putra). Kali pertama mereka bertemu, Chinta berasa amat terkejut sehingga merasakan bahawa Rasul Iman adalah jelmaan semula Amar hanya kerana wajah mereka yang agak serupa. Tetapi kehadiran Sadatul Saadiah (Farahdhiya) dalam hidup Rasul Iman ternyata menguji ketabahan Chinta dalam meraih cinta sejatinya. Mampukah Rasul Iman menggantikan Amar sebagai raja di hatinya?