Sejarah Congo-Kinsasha

Sejarah awal

Antara kerajaan-kerajaan awal di kawasan republik ini termasuklah Kerajaan Kongo yang bermula pada abad ke-12 dan Kerajaan Kuba pada abad ke-16 di kawasan selatan republik.

Zaman penjajahan

Pada 1885, raja Belgium, Leopold II telah menubuhkan Negara Bebas Congo sebagai tanah persendirian khusus kepada baginda tanpa sebarang kaitan dengan kerajaan Belgium. Baginda pada awalnya menggalakkan pembangunan dengan membina pelbagai prasarana seperti sebuah laluan kereta api dari pesisir Congo ke Leopoldville (kini Kinshasa) dengan matlamat utamanya ialah memudahkan eksploitasi aset tanah jajahan kepada pihak Leopold.[7]

Namun begitu, kerajaan Leopold mula bertukar menjadi sebuah rejim penindasan apabila penduduk peribumi dipaksa untuk mengutip getah dan sekiranya tidak mencapai kuota, anggota lengan dan kaki akan dipotong sebagai hukuman yang dijalankan oleh tentera Force Publique.[8] Akibatknya, jutaan penduduk maut akibat penindasan serta masalah penyakit, dengan anggaran bahawa kira-kira separuh jumlah penduduk Negara Bebas Congo maut di bawah rejimnya.[7]

Pada 1908, kerajaan Belgium membuat keputusan untuk mengambil alih pentadbiran Negara Bebas Congo daripada Leoppold II akibat tekanan masyarakat antarabangsa berikutan penindasan yang berlaku di situ lalu mengasaskan tanah jajahan rasmi Congo Belgium.[9]

Gerakan nasionalisme dan kemerdekaan Congo bermula pada 1950-an dan mencapai kemuncak pada 1960 dengan kemunculan gerakan-gerakan seperti Mouvement National Congolais (MNC) dan Alliance des Bakongo (ABAKO). Congo Belgium memperoleh kemerdekaan pada 30 Jun 1960 dengan nama "Republik Congo".

Krisis pascakemerdekaan

Potret rasmi Patrice Lumumba, Perdana Menteri pertama Republik Demokratik Congo.

Sebulan sebelum kemerdekaan, sebuah pilihan raya parlimen telah diadakan dengan Patrice Lumumba, wakil MNC memenangi pilihan raya tersebut dan seterusnya, menjadi Perdana Menteri pertama Republik Demokratik Congo. Parlimen kemudiannya melantik Joseph Kasavubu sebagai Presiden negara tersebut.

Sejurus selepas kemerdekaan, pihak Force Publique yang dinamakan semula sebagai Armée Nationale Congolaise, ANC pada 8 Julai mula memberontak dan pada 11 Julai, konflik pemisahan menentang kepimpinan baharu mula berlaku di kawasan Katanga dan Kasai Selatan.[10][11] Kebanyakan dalam kalangan 100 ribu orang penduduk Eropah yang menetap di situ mula meninggalkan negara.[12] Pada 5 September, Kasavubu bertindak memecat Lumumba daripada jawatannya. Lumumba menggelar tindakan Kasavubu sebagai tidak berperlembagaan dan konflik antara dua orang ketua tersebut mula timbul. Pada 17 Januari 1961, Lumumba dihukum bunuh oleh puak pemisah Katanga.[13]

Joseph Mobutu dan Republik Zaire

Rencana utama: Zaire

Sebelumnya, Lumumba telah melantik Joseph Mobutu sebagai ketua tentera ANC. Dengan bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat dan Belgium, Mobutu melancarkan kudeta terhadap kerajaan dan mengambil alih kuasa pada November 1965. Amerika Syarikat (AS) menganggap bahawa pemerintahan Mobutu akan mengekang gerakan komunisme yang berkembang di Afrika.[14] Pada 1971, Mobutu menukarkan nama negara menjadi Zaire.

Mobutu mentadbir negara melalui sistem diktator parti tunggal; Gerakan Revolusi Popular merupakan satu-satunya parti yang dibenarkan beroperasi. Sepanjang pemerintahannya, Mobutu menerima sokongan daripada AS disebabkan oleh fahaman antikomunisnya dalam suasana Perang Dingin. Mobutu dipelawa oleh para Presiden AS untuk mengunjungi AS.

Setelah Kesatuan Soviet runtuh, Zaire tidak lagi menjadi rakan baik AS kerana fahaman antikomunis Mobutu tidak lagi dikira penting. Pada akhir pemerintahannya, tentangan kepada Mobutu menjadi semakin ketara. Pada 1990, Mobutu mengisytiharkan "Republik Ketiga" yang dikatakan bakal menjanjikan reformasi demokrasi, tetapi hanya menjadi angan-angan. Pada 1997, pihak bersenjata berjaya menghalau Mobutu.

Perang di Congo

Rencana–rencana utama: Perang Congo Pertama dan Perang Congo Kedua

Kejadian genosid di negara jiran, Rwanda terhadap kaum Tutsi dibawa ke Zaire apabila penubuhan kerajaan Tutsi yang berjaya menyebabkan pihak militan Hutu, Interahamwe melarikan diri ke timur Zaire. Mereka menubuhkan kem-kem pelarian dan diasaskan sebagai pangkalan untuk merancang balas dendam kepada orang Tutsi, dan dijadikan sasaran oleh puak Tutsi di Rwanda.

Pasukan militan Hutu berpakat dengan angkatan tentera Zaire dan menyerang puak Tutsi yang menetap di timur Zaire.[15] Insiden ini menyebabkan puak Tutsi menubuhkan sebuah kumpulan militan dan merancang untuk menggulingkan Mobutu, membawa kepada Perang Congo Pertama.

Beberapa orang tentera pemberontak Congo, 2001.

Kumpulan ini yang diketuai oleh Laurent-Desire Kabila berjaya menawan ibu kota, Kinshasa pada 17 Mei 1997 sementara Mobutu lari ke luar negara, dan Joseph melantik dirinya sebagai Perdana Menteri dan menamakan semula negara sebagai Republik Demokratik Congo. Kabila mengarahkan semua tentera negara asing untuk berundur dari Congo. Namun begitu, Kabila dilihat tidak dapat mentadbir negara dengan cekap.

Seterusnya, pihak Rwanda menubuhkan sebuah kumpulan militan bernama Rassemblement Congolais pour la Democratie (RCD) manakala pihak Uganda menlancarkan Movement for the Liberation of Congo (MLC). Pasukan-pasukan ini mula menyerang DR Congo pada 1998 dan memulakan Perang Congo Kedua. Secara keseluruhan, sembilan negara Afrika serta 25 kumpulan ketenteraan terlibat dalam perang ini.[16]

Kabila dibunuh oleh penjaga keselamatan peribadinya pada 2001 dan digantikan oleh anaknya, Joseph Kabila lalu memanggil perbincangan demi kedamaian. Pada Julai 2003, sebuah kerajaan baharu telah terbentuk dan perang ini tamat secara rasmi, meskipun konflik-konflik berkaitan masih berlanjutan hingga kini.