Sejarah Daerah_Labuk_Sugut

Daerah Beluran, dahulunya lebih dikenali sebagai Daerah Labuk-Sugut dan telah wujud sejak awal Pentadbiran British North Borneo Charterd Company, ia merupakan antara Daerah yang terawal di Negeri Sabah. Nama Beluran diambil sempena nama bukit yang menjadi "Land Mark" pekan ini, iaitu dalam bahasa Dusun Labuk, Sungai dan Tidong disebut "BULUDAN" Pertukaran nama terjadi akibat daripada salah sebutan dan ejaan dalam surat menyurat oleh warga Inggris yang tidak fasih menyebut perkataan dalam bahasa tempatan menyebabkan BULUDAN bertukar kepada BELURAN dan kekal sehingga kini. Pejabat Pentadbiran Daerah Beluran telah ditubuhkan seawal tahun 1916, walaubagaimanapun semua rekod dan data berkenaan telah musnah akibat perang dunia ke dua, dan rekod Pegawai Daerah beberapa tahun juga musnah. Menurut sumber daripada orang lama, Encik B.S Willie telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Beluran pada tahun 1945. KLAGAN merupakan Pusat Pentadbiran Daerah Labuk Sugut yang pertama, tetapi kerana kawasan tersebut seringkali dilanda banjir, Pemerintah British telah memindahkan pusat pentadbiran tersebut ke kaki bukit Beluran.