Politik Daim_Zainuddin

Kerjaya politik Daim bermula pada tahun 1966, ketika beliau bersama-sama membuka syarikat guaman bersama Allen & Gledhill. Kerajaan Pusat telah melantik firma itu bagi pihak Gabenor Sarawak untuk satu kes.

Dari situ, membuka peluang Daim di persada politik tanah air apabila sentiasa berhubung rapat untuk mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tetapi beliau tidak terus berkecimpung dalam politik kerana katanya, "Saya mahu membangunkan perniagaan saya dahulu."

Pada tahun-tahun itu juga Daim yang asalnya `berdarah perniagaan' menubuhkan firma guamannya, Daim & Co.

Kerjaya politik beliau bermula apabila dilantik sebagai senator pada 1980 hingga 1982. Kemudian pada 1982, beliau bertanding di kerusi Kuala Muda dan memenangi kerusi tersebut.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 14 Julai 1984 setelah Perdana Menteri menawarkan jawatan itu kepadanya – era bermulanya kegemilangan beliau sebagai pengurus dan pentadbir wang negara. Pelantikan beliau dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Setelah enam tahun memegang jawatan Menteri Kewangan dan merasakan ekonomi Malaysia benar-benar teguh dan mantap, beliau meletakkan jawatannya pada 15 Mac 1991.

Tetapi, rehat beliau itu tidak lama; sekali lagi pada Januari 1999, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Pertama selepas Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet.

Walaupun beliau berada di luar kabinet selama tujuh tahun sejak 1991, Daim masih aktif terlibat dalam hal ehwal ekonomi negara atas pelantikan beliau sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan.

Pada 20 Disember 1997, Daim dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Semasa beliau dilantik Menteri Kewangan, Daim sudah pun menganggotai kabinet sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada 26 Jun 1998.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 31 Mei 2001.

Beliau juga pernah memegang jawatan Bendahari Agung UMNO antara tahun 1984 hingga 1999. dan juga Bendahari Barisan Nasional (BN).