Plot Dendam_Aurora

Mengisahkan tentang seorang wanita bernama Aurora Abdullah (Nabila Huda) yang dipenjarakan selama 8 tahun di atas kesalahan membunuh. Aurora kemudiannya dibebaskan lebih awal dari waktu ditetapkan kerana berkelakuan baik. Walaupun ditegah oleh neneknya Octavia Milner (Dian P. Ramlee), Aurora mengambil keputusan untuk pulang ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang setelah dibebaskan demi membersihkan namanya dan nama keluarganya yang telah tercalar setelah dia dituduh membunuh Dato’ Hamzah (Tony Eusoff). Kemunculan semula Aurora di Tanah Rata membuatkan keadaan menjadi tegang yang mana semua orang terkejut dengan kehadirannya terutama Harris (Ungku Ismail Aziz), yang merupakan bekas kekasih Aurora dan juga anak kepada Dato’ Hamzah. Pada waktu itu, Harris yang juga pemilik ladang Teh besar di Tanah Rata sudah ditunangkan dengan Putri Adrina (Anzalna Nasir), bakal pewaris kepada Engku Azhar (Dato’ Eizlan Yusof), pemilik ladang sayuran terbesar di Malaysia. Aurora terkejut apabila mengetahui yang perniagaan keluarganya kini menanggung hutang yang banyak dan dipinggirkan oleh orang kampung. Perusahaan teh mereka yang dijalankan Octavia semakin muflis. 

Dengan bantuan dan sokongan Ustaz Hakim Hamzah (Fezrul Khan), Aurora nekad untuk membangunkan perusahaan keluarganya. Kehadiran Aurora di Tanah Rata juga pada masa yang sama membuatkan pengusaha-pengusaha yang bersubahat dengan Engku Azhar bimbang jika rahsia kematian Dato’ Hamzah bocor. Mereka nekad untuk memastikan kehidupan Aurora terus sukar dan rahsia mereka tidak diketahui sesiapa. Didorong rasa benci, Haikal Hamzah (Shah Iskandar) pula ingin membalas dendam kepada Aurora di atas pembunuhan ayahnya. Hasil siasatannya, beliau mendapat tahu bahawa Aurora tidak bersalah. Rasa kesal dan malu ini membawa kepada perasaan cinta pada diri dan semangat perjuangan Aurora. Manakala Harris yang sudah ditunangkan dengan Putri Adrina pula pada masa yang sama semakin cemburu dengan adiknya yang semakin rapat dengan Aurora. Engku Azhar pula gembira dengan perkembangan hubungan Haikal dan Aurora kerana beliau sudah lama tidak menyukai Harris. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa merestui dan akur dengan keputusan anak kesayangannya Putri Adrina yang tetap berkeras untuk berkahwin dengan Harris. Perkahwinan Harris dan Putri Adrina merumitkan lagi konflik di antara tiga keluarga besar di Tanah Rata tersebut. Harris akhirnya mengetahui bahwa pembunuh sebenar ayahnya, Dato Hamzah adalah Putri Adrina, dan apabila terbukti Aurora tidak bersalah, Harris kembali ingin memenangi hati Aurora dan mula mengabaikan Putri Adrina. Manakala Putri Adrina yang semakin tertekan dan mula mendendami Aurora menyebabkan dia mengalami keguguran hingga membuatkan dirinya semakin hilang kewarasan akal fikiran lalu menghilangkan diri. Harris akhirnya mengahwini Aurora dan mempunyai anak bernama Hawa. Aurora menamakan anaknya sempena dengan nama arwah ibunya, Hawa (Marissa Yasmin). Sebelum meninggal, Hawa sempat memberitahu Aurora bahawa dia bukan anak kandungnya. Ini membuatkan Aurora semakin mendesak Octavia untuk menceritakan perkara sebenarnya. Bagaimanapun, Octavia bertegas mengatakan bahawa Aurora adalah cucu kandungnya. Kehadiran Dr. Azzam (Zack Kool) membuatkan Octavia semakin tertekan apabila Dr. Azzam mendesak agar dia pertemukan dengan anak-anaknya, Marzia (Emelie Hanif) dan Nissa (Mia Nasir). Aurora pula merasakan bahawa Dr. Azzam adalah ayah kandung mereka namun belum sempat dia merungkai persoalan itu, Dr. Azzam akhirnya mati dibunuh oleh isterinya, Suriya (Watie Sadali). Hubungan rumah tangga Aurora dan Harris mula dingin apabila Suriya mula mendekati Harris, dan manakala ibu Harris, Datin Lydia (Zila Bakarin) yang sememangnya benci dengan menantunya itu berusaha untuk memisahkan Harris dan Aurora. Akhirnya Harris menceraikan Aurora dan mereka berebut hak penjagaan anak mereka, Hawa. Bagaimanapun dengan bantuan Haikal, Aurora berjaya mendapatkan hak penjagaan tersebut tetapi dengan syarat bahawa dia harus berkahwin dengan Haikal. Octavia yang mengetahui bahawa Aurora bakal berkahwin dengan Haikal mencuba untuk menghalangnya dengan mengugut Lydia jika dia tidak menghentikan perkahwinan tersebut, dia akan membongkarkan kejahatan masa lalu Lydia dan mendedahkan identiti sebenar Aurora. Lydia yang merasa tergugat dengan ugutan itu, dia kemudiannya bertindak membunuh dengan melanggar Octavia. Kematian Octavia memberikan tamparan hebat kepada Aurora, Marzia dan Nissa. Mereka bertekad untuk mencari siapa pembunuh sebenar nenek mereka, namun Lydia bijak menghapuskan segala bukti yang ada dan berpura-pura kononnya dia tiada kaitan dengan kematian Octavia. Kecewa tidak dapat membela kematian neneknya, Aurora mula mencari identiti sebenar dirinya. Hasil siasatannya, dia menemukan nama seorang perempuan iaitu Rossa Rodgers (Nelissa Adreena). Aurora menyelinap masuk ke dalam rumah Suriya untuk mencari diari kepunyaan Rossa Rodgers yang disimpan oleh ibu angkat Suriya, Rohani (Ku Faridah). Setelah menemukan diari tersebut, Aurora akhirnya mengetahui bahawa Rossa Rodgers adalah ibu kandungnya yang telah lama meninggal dunia. Pada mulanya Aurora menyangka Engku Azhar adalah pembunuh ibu kandungnya, namun Engku Azhar menjelaskan bahawa dia adalah bekas suami Rossa Rodgers dan Rohani mengaku bahawa dialah yang membunuh ibu kandung Aurora. Akhirnya Aurora mengetahui bahawa Engku Azhar adalah ayah kandungnya. Konflik keluarga Dato Hamzah semakin memburuk apabila Harris dan Haikal bertengkar dan Harris meninggalkan rumahnya. Lydia yang semakin tertekan dengan keadaan itu, dia kemudiannya menyalahkan Aurora adalah penyebab keluarganya berpecah belah dan ingin membalas dendam. Lydia bersubahat dengan Suriya lalu mengupah samseng-samseng untuk menculik dan membunuh Aurora. Hasil daripada rancangan mereka itu, Aurora berjaya diculik dan Haikal menghilangkan diri. Akhirnya Haikal ditemui dalam keadaan trauma dan hilang ingatan. Kehilangan Aurora membuatkan Engku Azhar berasa gelisah dan terdesak mencari dalang sebenar disebalik penculikan Aurora. Engku Azhar berasa curiga bahawa ini semua rancangan Lydia dan Suriya. Akhirnya Harris berjaya menemukan Aurora di dalam bangunan lama projek milik Engku Azhar. Setelah kembali pulih, Aurora nekad ingin mencari siapa yang menyelamatkan dirinya ketika penculikan itu berlaku. Haikal juga semakin pulih ingatannya dan akhirnya Haikal menceraikan Aurora. Selepas penceraian Haikal dan Aurora, Harris kembali rujuk dengan Aurora lalu mengahwininya semula. Aurora akhirnya berjaya menemui Daniel, orang yang menyelamatkannya sewaktu dia masih dalam penculikan tersebut. Daniel merupakan anak yatim yang mempunyai masalah mental namun disebabkan Daniel juga merupakan salah seorang waris keluarga Rodgers, membuatkan Aurora mengambilnya sebagai anak angkat. Putri Adrina kemudian bersubahat dengan Suriya untuk membuatkan Aurora menjadi tidak waras. Suriya yang inginkan semula rumah dan harta keluarga Rodgers itu kemudian mengupah Dr. Munir (Rashdan Baba) untuk memberikan Aurora sejenis dadah yang membolehkan Aurora menjadi tidak waras. Akibatnya, emosi Aurora menjadi tidak stabil dan sering berhalusinasi yang dia selalu bercakap dengan arwah ibunya. Selain Aurora, Dr. Munir juga mencuba untuk membuatkan Haikal tidak mengingati masa lalunya dan membuatkan Haikal juga menjadi tidak waras dengan arahan Feroz. Suriya dan Dr. Munir berjaya memperdaya Aurora untuk menandatangani surat pemindahan harta dan mengambil Daniel daripada Aurora kepada Suriya. Aurora yang kemudiannya sedar bahawa dia telah ditipu Dr. Munir dan Suriya mencuba untuk menyelamatkan Daniel daripada diculik Suriya namun kejadian itu berakhir dengan Aurora dilanggar Suriya. Harris yang melihat kejadian itu segera membawa Aurora ke hospital dan menyebabkan Aurora koma. Manakala Suriya dan Dr. Munir kemudian diberkas polis. Putri Adrina pula akhirnya insaf dan sedar kesilapannya selama ini lalu menyerah diri kepada pihak polis. Setelah Aurora sedar daripada koma, Aurora kemudian memujuk Engku Azhar untuk menyerah diri kepada pihak polis setelah dia mengetahui bahawa Engku Azhar telah membunuh Lydia, Adnan dan Feroz. Demi kasihnya terhadap Aurora, Engku Azhar akhirnya turut menyerah diri kepada pihak polis. Marzia yang selama ini berdendam dengan Harris kemudian meminta maaf dengan Harris dan Aurora.

Rujukan

WikiPedia: Dendam_Aurora http://www.bukancincai.co/2017/07/tonton-dendam-au... http://www.myinfotaip.com/2017/07/dendam-aurora.ht... http://astroradar.my/news/dendam-aurora https://www.hangat.com/17459-boleh-tergoda-5-gamba... https://www.astro.com.my/mediaroom/articledetails.... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2017/... https://bm.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&ti... https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthrea... https://www.hmetro.com.my/utama/2017/08/250599/sha...