Tugas Dewan_Rakyat_Malaysia

Status Dewan Rakyat diterangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut: "Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat."[3] Kuasa memanggil dewan bersidang dijelaskan di dalam Perlembagaan sebagai hak dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Baginda tidak boleh membiarkan enam bulan dari tarikh terakhir persidangan berlalu tanpa ada tarikh tetap untuk sesi bersidang seterusnya.[4]

Pembubaran

Dewan Rakyat bersidang selama maksimum lima tahun dan kemudian terbubar sendiri melainkan jika dibubarkan lebih awal dari itu.[5] Kuasa pembubaran ini terletak di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong.[6] Baginda boleh membubarkan parlimen walaupun sesi perkhidmatannya masih lagi awal ataupun jika Perdana Menteri tidak lagi memiliki keyakinan dan kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan kerana tewas samada melalui undi tidak percaya atau meluluskan belanjawan. Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh melantik seorang ahli parlimen lain yang menurut budi bicaranya boleh memiliki keyakinan dan kepercayaan ahli-ahli dewan lain.[7][8]

Perdana Menteri, yang lazimnya mengetuai parti politik atau kumpulan parlimen yang memiliki jumlah kerusi terbanyak bertanggungjawab mengetuai badan eksekutif yang mentadbir negara ini. Beliau turut berhak melantik ahli daripada kedua-dua dewan di parlimen untuk menganggotai Jemaah Menteri.[9] Badan eksekutif ini berperanan membawa atau mencadangkan satu-satu undang-undang untuk dibahas, dikaji dan diluluskan oleh parlimen.

Hak istimewa

Ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan;[10] satu-satunya badan yang boleh mengecam seseorang ahli parlimen ialah Jawatankuasa Parlimen bagi Hak dan Kebebasan. Kekebalan parlimen ini berkuatkuasa serta-merta setelah seseorang itu mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen dan hanya boleh digunapakai ketika ahli tersebut dibenarkan bersuara. Kekebalan ini tidak boleh dipakai ke atas kenyataan-kenyataan yang dibuat di luar dewan. Satu pindaan telah dibuat di bawah Perkara 63 Perlembagaan berikutan Peristiwa 13 Mei dengan penambahan Perenggan 4 yang menidakkan Fasal 2 Perlembagaan yang secara amnya memberikan hak-hak kebebasan asasi. Perenggan 4 itu menerangkan bahawa sesiapapun termasuk ahli Parlimen yang berucap di Dewan Rakyat boleh didakwa jika melakukan kesalahan di bawah Fasal 4 Perkara 10 atau di bawah Akta Hasutan 1948.[11] Selain itu ahli-ahli Parlimen juga kehilangan hak-hak istimewanya jika menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negeri-negeri.[12]

Rujukan

WikiPedia: Dewan_Rakyat_Malaysia http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/3/... http://www.parlimen.gov.my/ http://www.parlimen.gov.my/dR-maklumatumum.htm http://www.parlimen.gov.my/jawatankuasa-dr.html?uw... http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/25117-... http://spr.gov.my/index/bahagian19v.htm http://pru14.spr.gov.my/#!/home http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua...