Kerjaya Didie_Alias

Penglibatan Didie dalam dunia lakonan bermula selepas beliau menempa nama dalam bidang modeling dan komersial. Didie pernah menyertai peringkat bulanan pemilihan Dewi Remaja anjuran Majalah Remaja pada tahun 1990. Beliau kemudian dilamar oleh Berjaya Filem untuk membintangi filem arahan Hussein Abu Hassan berjudul Kanta Serigala bergandingan bersama Rosyam Nor dan Faizal Hussein. Wajah Didie yang mirip pan-asian nyata berjaya menarik perhatian ramai.

Sejak itu Didie mula meniti populariti sebagai seorang aktres yang cenderung berlakon filem-filem aksi. Namun ketika popularitinya mula meningkat, Didie mengambil keputusan untuk berkahwin dengan aktor yang sangat popular ketika itu, Ridzuan Hashim pada tahun 1992. Akhirnya Didie terpaksa mengorbankan seketika kerjaya lakonannya untuk memberi perhatian kepada keluarga.

Didie banyak muncul dalam drama TV yang tidak menuntut banyak komitmen berbanding filem. Lakonannya sering mendapat pujian malahan terbukti apabila dua kali dicalonkan di Anugerah Skrin.

Penceraian dan persaraan sementara

Pada tahun 2002, Didie dan Ridzuan memutuskan untuk bercerai dan Didie ketika itu merupakan ibu kepada 5 orang anak. Sejak itu Didie mula menjauhkan diri dari bidang seni ekoran sering ditanya mengenai punca penceraian pasangan artis yang popular itu.

Didie pernah melalui zaman sukar sehinggakan pernah tinggal di ceruk dapur rumah kawannya selepas bercerai[4]. Didie terpaksa menumpang di rumah kawannya yang sekadar menyewa bilik di apartment itu demi mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Berkat pertolongan rakannya itu, Didie berjaya mendapat jawatan sebagai Pegawai Pemasaran. Dengan gaji itulah Didie mula menyara anak-anaknya serta menabung untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Berusaha membesarkan anak-anak seramai lima orang iaitu Nurdania (lahir 1993), Mohd. Danial (1994), Dinie (1996), Danie (1998), dan Diana (1999), Didie bersama adiknya, Farah dan seorang rakan kongsi (Norisham Ismail) mengumpul modal sebanyak RM20,000 membuka syarikat Didie’s Entertainment & Management pada 2003.

Sebagai pengendali dan pengacara majlis, Didie bukan sekadar dapat membesarkan anak-anak tetapi juga memiliki rumah sendiri.

Kembali ke dunia hiburan

Sejak muncul dalam drama Labuna Labuni yang menjalani penggambaran akhir 2004 bersama pelawak Alliza 'Enot' Abdullah, nama Didie mula menjadi sebutan di kalangan rakan-rakan artis terutama ketika dia dicalonkan sebagai Aktres Komedi Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2006 sekaligus meletakkan beliau sebaris dengan nama-nama seperti Jasmin Hamid, Nik Sayyidah Fatihah dan Sheila Rusly. Dan sejak itulah tawaran untuknya berlakon, datang tidak henti-henti.

Ketika itu Didie bukan setakat sibuk berlakon tetapi juga diberi tanggungjawab sebagai penyelaras penggambaran (coordinator) untuk drama Takdir Yang Terindah, drama 30 episod terbitan Suhan Movies serta berkhidmat sebagai pengurus produksi untuk syarikat penerbitan rakan baiknya Sheila Rusly.

Banyak bekerja di belakang tabir untuk drama-drama terbitan Rosyam Nor dan Sheila Rusly, akhirnya Didie mula memberanikan diri untuk berlakon dengan lebih aktif lagi. Kini nama Didie mula kembali meniti bibir peminat malahan sudah mula mencipta nama sebagai aktres komedi yang popular.

Persahabatan dengan Erra Fazira

Ketika membintangi telefilem Pontianak Kampung Batu pada tahun 2010, Didie membuka rahsia mengenai persahabatannya dengan primadona filem Melayu Erra Fazira yang telah terjalin sejak aktres itu mula-mula berkecimpung dalam dunia perfileman. Didie yang teruja kerana berganding bersama Erra dalam drama tersebut menceritakan suatu ketika dahulu, beliau dan Erra sering berkongsi cerita dan masalah malah hubungan mereka yang sebaya itu akrab sekali. Namun, sejak aktres itu meraih populariti sebagai pelakon paling popular di Malaysia manakala Didie meneruskan kehidupan sebagai isteri dan kemudian bergelar ibu tunggal; masing-masing membawa haluan sendiri.

Didie bagaimanapun menafikan wujud perselisihan faham antara mereka sebaliknya mengatakan persahabatan itu renggang tanpa mereka sedari kerana suatu ketika kedua-duanya meniti jalan yang berbeza dalam karier. Hubungan Didie dan Erra kini kembali rapat semenjak Didie kembali aktif di pentas lakonan. Kini Didie kembali bersahabat dengan Erra Fazira selepas membintangi drama Kelaas Kau Maria arahan Michael Ang.[5]

Berkaitan