Sejarah Divisyen_ke-11_India

11 Divisyen India ditubuhkan pada 15 September 1940 di Kuala Lumpur dan menjadi Markas Pasukan Kawasan Utara (Force HQ Northern Area). Pada 12 Oktober 1940, pasukan ini dinamakan semula sebagai Divisyen ke-11 Infantri India dan Markas Pasukan Kawasan Utara. Pada 16 April 1941, pasukan ini sekali lagi diubahkan namanya menjadi Divisyen ke-11 Infantri India (nama Markas Pasukan Kawasan Utara digugurkan).

Untuk tempoh 15 September 1940 hingga 15 April 1941, 11 Divisyen India diletakkan di bawah perintah Markas Gerakan Tanah Melayu (Malaya Command) (Lt. Jen. A. E. Percival) tetapi mulai 16 April 1941 Divisyen ini diletakkan di bawah penguasaan III Kor India (Lt. Jen. Lewis Heath).

11 Divisyen India diperintah oleh Mejar Jeneral Murray-Lyon dari tarikh penubuhannya sehingga ia dipecat oleh Lt. Jen. Percival. Kepimpinan 11 Divisyen India kemudiannya dipangku oleh Brig. A.C.M. Paris sebelum diambil alih oleh Billy Key.

11 Divisyen menyerah diri kepada Tentera Jepun pada 15 Februari 1942 bersama-sama dengan 130,000 orang askar Komanwel apabila Jeneral Percival bersetuju menyerah diri tanpa syarat kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita.

11 Divisyen India terlibat dalam kempen selama 10 minggu untuk cuba menyekat kemaraan Tentera Jepun dari bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu. 11 Divisyen adalah formasi tentera pertama bertempur dengan Tentera Jepun di Malaya apabila Jepun memulakan serangan pada 8 Disember 1941. 11 Divisyen mengalami kemalangan jiwa yang tinggi dalam Pertempuran Jitra, Pertempuran Gurun dan kemudiannya Pertempuran di Slim River.

Selepas pertempuran sengit semasa Pertempuran Muar, 11 Divisyen India terpaksa berundur ke Singapura dan bergabung dengan 9 Divisyen India. Briged ke-8 India dari divisyen ini bertempur hingga saat-saat terakhir sebelum kejatuhan Singapura.