Drakunkuliasis
Drakunkuliasis

Drakunkuliasis

Drakunkuliasis, juga dikenali sebagai penyakit cacing guinea (GWD), merupakan jangkitan oleh cacing guinea.[1] Seseorang akan dijangkiti apabila mereka minum air yang mengandungi kutu air yang dijangkiti oleh larva cacing guinea.[1] Pada mulanya, mereka tidak mengalami apa-apa simptom.[2] Kira-kira setahun kemudian, mereka yang dijangkiti mengalami rasa terbakar yang menyakitkan apabila cacing betina membentuk lepuhan pada kulit, biasanya pada bahagian anggota badan bawah.[1] Cacing ini kemudiannya keluar daripada kulit dalam tempoh beberapa minggu.[3] Pada masa ini, individu yang dijangkiti mungkin sukar berjalan atau bekerja.[2] Penyakit ini sangat jarang membawa maut.[1]Manusia adalah satu-satunya makhluk yang diketahui dijangkiti cacing guinea.[2] Cacing ini berukuran kira-kira satu sehingga dua milimeter lebar dan cacing betina dewasa berukuran 60 sehingga 100 sentimeter panjang (cacing jantan lebih pendek).[1][2] Di luar tubuh manusia, telur cacing ini boleh hidup selama tiga minggu.[4] Telur ini mesti dimakan oleh kutu air sebelum tempoh ini tamat.[1] Larva di dalam kutu air boleh hidup selama empat bulan.[4] Oleh itu, penyakit mesti tercetus setiap tahun dalam kalangan manusia untuk kekal di suatu kawasan.[5] Diagnosis penyakit biasanya boleh dilakukan berdasarkan tanda dan simptom penyakit. [6]Pencegahan ialah dengan diagnosis awal penyakit, kemudian mencegah individu tersebut daripada memasukkan cacing ke dalam air minum. [1] Usaha lain termasuk: menambah baik capaian untuk air bersih dan menapis air jika ia tidak bersih. [1] Menapis air menggunakan kain biasanya sudah mencukupi.[3] Air minum yang tercemar boleh dirawat menggunakan bahan kimia yang dipanggil temefos untuk membunuh larva.[1] Tiada ubat atau vaksin untuk penyakit ini.[1] Cacing boleh dikeluarkan perlahan-lahan dalam beberapa minggu dengan menggeleknya dengan kayu. [2] Ulser yang terbentuk oleh cacing yang keluar boleh dijangkiti bakteria.[2] Kesakitan boleh berlanjutan selama berbulan-bulan selepas cacing dikeluarkan. [2]Sebanyak 148 kes penyakit ini dilaporkan pada tahun 2013.[1] Ini merupakan satu penurunan daripada 3.5 juta kes pada tahun 1986.[2] Ia wujud di 4 buah negara sahaja di Afrika, turun daripada 20 negara pada tahun 1980-an.[1] Negara yang paling teruk terjejas ialah Sudan Selatan.[1] Penyakit ini mungkin penyakit parasitik yang pertama berjaya dibasmikan.[7] Penyakit cacing guinea sudah ditemui dalam kalangan manusia sejak ribuan tahun dahulu.[2] Ia pernah disebut dalam Papirus Ebers perubatan Mesir yang bertarikh 1550 SM.[8] Nama drakunkuliasis merupakan terbitan daripada Latin yang membawa maksud "penderitaan disebabkan naga kecil",[9] sementara nama "cacing guinea" mula digunakan selepas orang Eropah melihat penyakit ini di pantai GuineaAfrika Barat pada abad ke-17.[8] Satu spesies yang serupa dengan cacing guinea mengakibatkan penyakit dalam kalangan haiwan lain. [10] Spesies cacing ini tidak menjangkiti manusia.[10] Penyakit ini dikelaskan sebagai penyakit tropika terabai.[11]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Drakunkuliasis http://books.google.ca/books?id=CF2INI0O6l0C&pg=PA... http://books.google.ca/books?id=GTjRAQAAQBAJ&pg=PA... http://books.google.ca/books?id=GTjRAQAAQBAJ&pg=RA... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://www.diseasesdatabase.com/ddb3945.htm http://www.emedicine.com/ped/topic616.htm http://www.cdc.gov/globalhealth/ntd/diseases/index... http://www.cdc.gov/parasites/guineaworm/gwep.html //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/14970098 //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/17582064