Dwilambang_(ortografi)
Dwilambang_(ortografi)

Dwilambang_(ortografi)

Dwilambang atau dwihuruf merupakan sepasang aksara yang digunakan untuk menuliskan satu fonem (bunyi berbeza), ataupun urutan fonem yang tidak bersamaan dengan nilai kebiasaan dua aksara berkenaan. Bunyi sedemikian salalunya tidak boleh diungkapkan dengan satu aksara sahaja dalam ortografi bahasa berkenaan. Biasanya, istilah "dwihuruf" juga memaksudkan grafem yang lebih kurang sama bunyinya sahaja dengan huruf-huruf pembentuknya, misalnya huruf lam-alif (لا) dalam tulisan Jawi.Bagi dwihuruf yang tidak mewakili fonem yang berbeza, mungkin ia pernah disebut secara berlainan pada zaman dahulu berbanding zaman sekarang, ataupun mewakili perbezaan antara loghat-loghat tertentu, seperti wh dalam bahasa Inggeris, ataupun sebab etimologi semata-mata, seperti ph dan rh dalam perkataan Inggeris yang dipinjam dari bahasa Yunani kuno.Dalam ortografi sesetengah bahasa seperti bahasa Croatia (lj, nj, dž) atau bahasa Czech (ch), dwihuruf merupakan huruf berasingan yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam abjad masing-masing, dan tidak boleh dipecahkan kepada huruf tunggal apabila menyusun kata, membuat singkatan dan sebagainya. Perkara ini tidak wujud dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris.Sesetengah skema perumian meluaskan penggunaan dwihuruf (cth. Arab kepada Rumi untuk bahasa Melayu, yang mana huruf ش menjadi sy), tetapi yang lain bergantung pada tanda diakritik (cth. Arab kepada Rumi terubah suai untuk bahasa Turki, yang mana ش menjadi ş dengan tanda sedila di bawah huruf s). Golongan akademik lebih gemar alih aksara berasaskan diakritik untuk mengurangkan kekaburan. Sesetengah bahasa tiada dwihuruf (cth. bahasa Serbia (abjad Cyril), dan Turki), maka sebarang alih aksara ke dalam bahasa berkenaan tidak wajar menggunakan dwihuruf juga.