Fazira binti Wan Chek (lahir 9 Februari 1974) atau lebih dikenali sebagai
Erra Fazira ialah seorang peragawati, pelakon, penyanyi, pengacara, penerbit dan bekas ratu cantik Malaysia. Dilahirkan dan dibesarkan di
Rawang,
Selangor, Erra memulakan kerjaya profesionalnya pada 1992 dengan menyertai pertandingan Ratu Cantik
Miss Malaysia World 1992 dan memenangi gelaran tersebut. Setelah itu beliau mula diintai ramai penerbit lebih-lebih lagi apabila wajahnya banyak muncul di pentas peragaan dan kaca televisyen. Pada tahun 1993, Erra dipilih untuk membintangi filem arahan
Yusof Haslam berjudul
Sembilu di samping pelakon dan penyanyi popular
Awie dan
Ziana Zain. Tidak lama selepas penggambaran, Erra merakamkan album
EP pertamanya yang menggunakan
namanya sebagai judul album dan didahului dengan single sulungnya "Cinta Abadi" pada tahun 1994. Pada tahun yang sama, beliau melancarkan kerjaya lakonannya dengan lakaran kejayaan apabila filem sulungnya itu mencatat kutipan pecah panggung, sejak itu beliau diberi jolokan sebagai "Primadona Filem Melayu Alaf Baru" sejak tahun 1994 hingga kini apabila deretan filem-filem lakonannya selepas itu turut mencatat kejayaan, suatu pencapaian yang sukar dicapai oleh mana-mana aktres tempatan selepasnya. Erra telah muncul dalam beberapa filem terkenal termasuk
Gerak Khas The Movie (2000),
Janji Diana (2004),
KL Menjerit 1 (2005),
Cuci (2007) dan
Polis Evo 2 (2018) dengan kutipan pecah panggung keseluruhan filemnya sudahpun mencecah RM100 juta. Menerusi dua buah filem,
Soal Hati (2000) dan
Hingga Hujung Nyawa (2004) , Erra telah diangkat sebagai
Pelakon Wanita Terbaik di
Festival Filem Malaysia. Di dalam kerjaya muziknya, Erra telah menerbitkan sebanyak 6 album studio, 2 album EP serta beberapa album runut bunyi dan album himpunan. Sepanjang kerjayanya, Erra telah memenangi pelbagai anugerah di dalam kerjaya muzik, televisyen dan filem termasuk
Anugerah Industri Muzik,
Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan
Anugerah Skrin. Beliau berkahwin sebanyak dua kali, iaitu bersama penyanyi
Yusry Abdul Halim (kini berkahwin dengan
Lisa Surihani) dari 2003 hingga 2006, dan perkahwinan keduanya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin (kini berkahwin dengan pelakon Indonesia,
Laudya Chintya Bella) dari 2007 hingga 2014, dikurniakan seorang anak perempuan bernama
Engku Aleesya.