Habitat Etak

Etak umumnya boleh dijumpai di kawasan sungai air tawar yakni pada dasar sungai atau terusan. Etak ini boleh juga dilihat hidup di kawasan hampir ke muara sungai yakni berdekatan dengan delta atau laut. Namun, etak lebih banyak hidup di sungai berdekatan sawah padi.

Etak yang kebanyakannya bersaiz batu kerikil, banyak mendiami kawasan sungai di bahagian negara-negara beriklim tropika seperti di negeri-negeri pantai timur Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu. Selain itu, etak juga turut mendiami kawasan sungai pantai timur Thailand. Ia lebih gemar hidup di dasar sungai yang tanahnya berselut.

Di Malaysia, musim kemarau antara bulan Mac hingga Ogos ialah musim terbaik untuk 'menangkap' etak kerana pada musim tersebut, sungai-sungai di Malaysia biasanya mengalami penurunan paras air dan sungai lebih cetek dan mengalir perlahan. Etak merupakan haiwan sungai yang dilihat suka pada kawasan yang tenang aliran airnya dan berlumpur.

Kulit etak biasanya terdapat dalam dua warna, iaitu perang kehitaman dan kuning cerah. Etak bercengkerang perang kehitaman sering dijumpai di kawasan sungai air tawar yang berlumpur, manakala yang berwarna kuning cerah pula di kawasan berpasir.[perlu rujukan]

Etak boleh ditangkap dengan menggunakan pengaut atau jaring yang diperbuat daripada kawat besi.